PKR belum membuat keputusan berhubung permohonan bekas menteri komunikasi dan multimedia, Salleh Said Keruak untuk menyertai parti itu.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, meskipun ada yang bersetuju, pihaknya masih lagi perlu mendapatkan pandangan pimpinan parti di peringkat cabang dan negeri Sabah mengenai penyertaan bekas menteri Umno itu.

“Belum dibawa (untuk kelulusan). (PKR) bincang tapi kita selalu (kita akan) tanya cabang, negeri, ada yang setuju, ada juga yang bagi pandangan (berbeza), tetapi kita dengar semua,” kata Anwar kepada pemberita.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama merasmikan Ijtimak Harakiy kali keenam Seminar Bangsa Malaysia di Kajang, hari ini.

Pada 9 Oktober lalu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata permohonan Salleh untuk menyertai PKR akan ditentukan dalam Mesyuarat Biro Politik PKR pada 18 Oktober.

Bagaimanapun Saifuddin berkata permohonan keanggotaan Salleh diterima dalam talian dan akan dibahas oleh biro tersebut sebelum keputusan muktamad dibuat mengenai status permohonan bekas bendahari Umno itu.

Namun, sehingga kini belum ada kata putus mengenai permohonan tersebut.

Sementara itu, mengulas saranan PAS supaya kerajaan mengharamkan DAP, Anwar yang juga anggota Parlimen Port Dickson berkata parti Islam itu masih membawa pemikiran lama.

“Saya fikir PAS masih bawa pemikiran lama, suruh haram..itu politik lama.

"Sekarang kalau mula ajar kerajaan ada kuasa haramkan parti itu bahaya, bahaya untuk PAS juga. Jadi, jangan,” katanya.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan semalam menyarankan agar kerajaan mengharamkan DAP dengan antara lain memetik penahanan dua Adun DAP dalam siasatan berhubung kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai "bukti".