Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak menerima sebarang permohonan daripada bekas pengerusi DAP Sarawak dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek Jason Wong Sing Nang, untuk menyertai SUPP yang heboh diperkatakan sekarang.

"Seperti yang anda maklum, pilihanraya negeri semakin hampir. Ada banyak khabar angin sekarang. Setakat ini, kami belum menerima apa-apa permohonan daripada beliau untuk menyertai SUPP," Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan yang Timbalan Ketua Menteri semasa dihubungi Bernama.

Wong tidak bertanding dalam pilihanraya negeri yang lalu pada 27 September 2001, dengan alasan untuk menumpukan perhatian kepada pengajian pengurusan alam sekitarnya.

Beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP Sarawak pada bulan September 2000 dan meninggalkan parti itu pada 9 Februari 2001.

Wong mengambil tindakan tersebut berikutan keengganan DAP memutuskan hubungan dengan PAS yang mengisytiharkan cita-citanya untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Pakatan BA

DAP Sarawak di bawah kepimpinan pengerusinya sekarang, Richard Wong Ho Leng, iaitu bekas wakil rakyat kawasan Bukit Assek, menarik diri daripada pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Barisan Alternatif (BA) sejurus selepas peletakan jawatan Jason Wong.

Selain menjadi Adun, Jason Wong juga merupakan Ahli Parlimen Lanang pada 1987 tetapi tewas selepas berpindah ke kerusi Bandar Sibu, kepada Datuk Robert Lau Hoi Chiew dari SUPP parti komponen Barisan Nasional (BN).

Jason Wong kembali bertanding dalam pilihanraya Sarawak pada 1996 untuk menewaskan calon SUPP, Vincent Goh Chung Siong bagi kerusi Pelawan dengan majoriti 974 undi.

Bagaimanapun, Jason Wong tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan berhubung khabar angin penyertaannya ke dalam SUPP.

Pengerusi DAP Sarawak Richard Wong berkata terdapat cakap-cakap bahawa Jason Wong akan menyertai SUPP untuk bertanding dalam pilihanraya negeri akan datang.

Wong, yang juga Naib Pengerusi DAP kebangsaan berkata khabar angin itu sudah agak lama tersebar.