Rakyat M'sia tetap kunjungi Thailand walaupun Baht lebih kukuh
Meskipun nilai baht Thai yang lebih kukuh berbanding ringgit Malaysia, sejumlah 2.96 juta rakyat Malaysia berkunjung ke Thailand dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini yang menyumbang sebanyak 75.63 bilion baht kepada perolehan pelancongan.
Berdasarkan kepada perangkaan terkini Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand (MoTS), ketibaan pelancong Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.56 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, daripada 2.80 juta pada 2018 kepada 2.96 juta tahun ini.
“Sejumlah 75.63 bilion baht perolehan pelancongan direkodkan dari Januari hingga September tahun ini berbanding 70.88 bilion baht tahun lepas, peningkatan 6.69 peratus,” demikian menurut perangkaan itu.
Baht Thai adalah mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik dalam kalangan mata wang Asia dan ia mengukuh lebih daripada 6 peratus berbanding dolar tahun ini.
Mata wang itu naik setinggi 0.2 peratus pada Jumaat kepada 30.228 berbanding dolar AS, paras paling kukuhnya sejak Mei 2013.
Penganalisis menjangkakan baht akan terus mengukuh mencecah 30.50 berbanding dolar AS pada akhir tahun ini.
Berdasarkan kepada Pasaran Pertukaran Asing Antara Bank di Kuala Lumpur, 100 baht bersamaan dengan RM13.85 pada Jumaat.
Sementara itu, perangkaan tersebut menunjukkan warga China adalah ketibaan pelancong tertinggi di Thailand dengan sejumlah 8.52 juta rakyat China melawat negara itu dari Januari hingga September tahun ini, peningkatan 1.71 peratus berbanding 8.37 juta tahun lepas.
Manakala ketibaan pelancong India mencatatkan peningkatan tertinggi bagi tempoh tersebut sebanyak 25.6 peratus daripada 1.17 juta pada 2018 kepada 1.47 juta tahun ini.
Dalam tempoh tersebut, Thailand merekodkan peningkatan 3.51 peratus kedatangan pelancong antarabangsa daripada 28.47 juta tahun lepas kepada 29.47 juta tahun ini.
“Keseluruhan perbelanjaan meningkat 3.45 peratus daripada 1.381 trilion baht pada 2018 kepada 1.429 trilion baht tahun ini,” lapor perangkaan itu.
Bagi meningkatkan kedatangan pelancong ke negara ini, Kabinet Thailand pada Khamis secara dasarnya telah meluluskan lanjutan enam bulan kempen pelepasan yuran Visa semasa Ketibaan (VOA) dari 31 Oktober hingga 30 April 2020.
Timbalan Jurucakap Kerajaan Traisulee Traisaranakul berkata kempen itu terbukti telah berjaya meningkatkan kedatangan pelancong ke Thailand.
“Pelepasan itu menyebabkan kerajaan hilang hasil sebanyak 10.764 bilion baht daripada kutipan yuran. Bagaimanapun, kerajaan menjangka menjana 144.732 bilion baht hasil daripada sektor pelancongan,” katanya.
VOA bernilai 2,000 baht akan dikecualikan daripada pelancong dari 18 negara iaitu Bulgaria, Bhutan, China, Cyprus, Ethiopia, Fiji, Georgia, India, Kazakhstan, Malta, Mexico, Nauru, Papua New Guinea, Romania, Arab Saudi, Taiwan, Uzbekistan dan Vanuatu.
- Bernama

