Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS sambut baik hasrat M'sia buka kedutaan untuk Palestin
Diterbitkan:  Oct 27, 2019 9:35 AM
Dikemaskini: 1:35 AM

PAS menyokong langkah kerajaan untuk membuka kedutaan Palestin dengan menyifatkan ia sebagai langkah ke hadapan dalam hubungan kedua-dua negara.

Presidennya Abdul Hadi Awang berkata pembukaan kedutaan itu akan dapat membantu dalam mempertahankan hak dan keadilan rakyat Palestin dalam berdepan kezaliman israel.

"PAS menyambut baik pengesahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia akan membuka kedutaan untuk Palestin di Jordan, bagi membolehkan bantuan dan sokongan berterusan disalurkan kepada rakyat Palestin.

"PAS sentiasa menyokong sebarang usaha bagi membebaskan bumi Palestin dan membela rakyatnya yang ditindas, serta menolak sebarang hubungan diplomatik dengan regim Israel," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, PAS sendiri pernah mencadangkan perkara sama kepada kerajaan antaranya melalui soalan lisan Anggota Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman di Dewan Rakyat pada 13 Mac lalu.

Mahathir menyuarakan langkah itu ketika berucap dalam sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 di Baku, Azerbaijan, pada 25 Oktober lalu.

"Kami tahu Israel tidak akan membenarkan Malaysia membuka kedutaan di wilayah yang diduduki. Oleh itu kami akan membuka kedutaan di Jordan," katanya, sambil menambah ia bagi membolehkan Malaysia menyampaikan bantuan kepada Palestin dengan lebih mudah.

Ia disambut baik Menteri Luar Palestin Riyadh al Maliki yang berkata telah menerima surat rasmi berkenaan perkara itu.

"Pendekatan sedemikian memerlukan kelulusan rasmi Jordan, tetapi pada asasnya, ia merupakan inisiatif yang diberkati,” katanya seperti dipetik.

Lihat Komen
ADS