Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Kertas siasatan suspek berkaitan LTTE di tangan peguam negara

Polis memaklumkan telah menghantar kertas siasatan berkenaan suspek disyaki terlibat dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), kepada Pejabat Peguam Negara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kini bergantung kepada peguam negara sama ada untuk mendakwa atau melepaskan mereka.

"Tugas kita sudah selesai. Kita telah lengkapkan dan hantar kertas siasatan kepada peguam negara (Tommy Thomas).

"Jadi peguam negara akan buat penelitian. Mungkin dia perlukan sedikit masa, bergantung kepadanya sama ada dia mahu dakwa atau bebaskan mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) hari ini.

Sempena sambutan Deepavali hari ini, ahli keluarga diberi masa dua jam untuk melawat suspek.

Antara 12 suspek yang ditahan bawah Sosma ialah anggota dan bekas anggota DAP, PKR dan PAS, termasuklah dua adun DAP iaitu P Gunasekaran (Seremban Jaya) dan G Saminathan (Gadek).

LTTE terlibat dalam perang saudara dengan kerajaan Sri Lanka - untuk memerdekakan wilayah majoriti Tamil di negara itu - dan dikalahkan pada 2009.

Matlamat LTTE itu mendapat simpati dan sokongan etnik Tamil di negara-negara lain tetapi disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh sejumlah negara, termasuk Malaysia.

Lihat Komen
ADS