Bursa Malaysia menafikan ia sedang mengadakan rundingan penggabungan dengan Pasaran Saham Nasdaq di Amerika Syarikat (AS) selepas peningkatan signifikan harga sahamnya sebanyak 35.1 peratus.

Saham Bursa Malaysia naik dari RM4.70 pada 17 Mac kepada RM6.35 pada 13 April 13 lalu.

Nasdaq, yang didominasi penyenaraian syarikat teknologi Amerika, telah membeli 14.99 peratus Bursa Saham London. Kini timbul spekulasi yang ia juga mungkin sedang mensasarkan beberapa bursa saham di Asia.

"Berikutan sebuah rencana akhbar baru-baru mengenai penggabungan bursa-bursa saham, maka Bursa Malaysia ingin menjelaskan bahawa ia tidak terbabit dalam sebarang perbincangan dengan Nasdaq atau mana-mana bursa lain, mengenai cadangan penggabungan dan pengambilalihah," katanya dalam satu kenyataan lewat semalam.

Tingkat sentimen pelabur

Menurut kenyataan tersebut, prestasi baik Bursa Malaysia adalah berikutan 'peningkatan sentimen pelabur' termasuk keputusan kerajaan Mac lalu untuk memperkenalkan semula jualan singkat yang dikawal, pinjaman dan pinjaman sekuriti.

Katanya, aktiviti jualan di pasaran telah meningkat secara signifikan sejak pengumuman itu dibuat, sambil menegaskan bahawa penyertaan pelabur runcit semakin meningkat.

Harga saham Bursa Malaysia rendah pagi ini berikutan pelabur mengambil keuntungan selepas ia menafikan adanya rundingan penggabungan tersebut.

Sahamnya merosot RM0.10 pada paras 6.25 dengan 588,500 saham bertukar tangan.

- AFP