CAP bantah rakyat Malaysia dijadikan bahan ujian
Terjemahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya menarik balik pelawaannya kepada firma-firma farmaseutikal asing untuk menjalankan ujian klinikal produk baru mereka di Malaysia.
Terjemahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya menarik balik pelawaannya kepada firma-firma farmaseutikal asing untuk menjalankan ujian klinikal produk baru mereka di Malaysia.
Pelawaan tersebut dibuat oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Jamaluddin Jarjis (foto) ketika berucap di satu seminar di Amerika Syarikat awal minggu ini.
Dalam satu kenyataan semalam, Presiden CAP, SM Mohamed Idris berkata, pada tahun 2001, kerajaan Nigeria menarik balik lesen sebuah syarikat perubatan multinasional selepas akhbar Washington Post melaporkan, syarikat berkenaan, menggunakan rakyat Nigeria sebagai bahan ujian produk barunya.
Pada masa ini pun, terdapat satu saman yang sedang menunggu perbicaraan di Amerika Syarikat terhadap syarikat yang sama, katanya.
Menurutnya, pada 1996, Nigeria dilanda wabak meningitis yang mengakibatkan 15,000 kematian. Pada masa itulah, syarikat berkenaan menjalan ujian satu antibiotik baru ke atas kanak-kanak negara tersebut.
Ujian tersebut, menurut laporan berkenaan, didakwa dilakukan secara tergesa-gesa dan tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.
"Ujian tersebut telah menimbulkan persoalan dan juga kemarahan terhadap syarikat ubat multinasional yang menguji produk baru di negara itu, tanpa mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan.
"Berikutan itu timbul gesaan baru terhadap masyarakat antarabangsa supaya memastikan para peserta ujian klinikal diberi perlindungan sewajarnya," kata Mohamed Idris (foto).
Tiada undang-undang
Beliau juga memetik satu lagi 'tragedi' di sebuah hospital di London tahun lalu di mana enam orang yang dijadikan bahan ujian, telah mengalami kegagalan organ beberapa jam selepas mengambil ubat baru yang sedang diuji itu. Dua daripada mereka masih dalam keadaan kritikal.
Mereka telah diberi dos paling kecil TGN 1412 ubat anti-radang yang dihasilkan oleh sebuah syarikat perubatan Jerman.
Berikutan kejadian tersebut, Mohamed Idris berkata, kerajaan mesti menimbang semula pelawaannya kepada syarikat-syarikat farmaseutikal untuk melakukan ujian klinikal di negara ini.
Lagi pula, katanya, di Malaysia tidak terdapat sebarang undang-undang yang mengawal ujian klinikal.
"Berikutan berlakunya kejadian yang tidak diingini itu, di mana taktik yang tidak beretika digunakan dalam ujian ubat baru, maka ujian klinikal seumpama itu patut diharamkan di Malaysia," katanya. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.