Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Reformasi GLC Mahathir hanya untungkan Bersatu’

Kajian badan pemikir, Ideas mendapati tindakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menunaikan janji-janji Pakatan Harapan untuk mereformasi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dilakukan dengan cara yang hanya memberi manfaat atau keuntungan kepada partinya sendiri.

Menurutnya, trend itu dikenal pasti daripada perubahan yang dibuat kepada garis pelaporan menteri bagi pelbagai GLC dalam lima kementerian utama.

Antara lain, kajian Ideas mendapati kawalan ke atas sembilan syarikat besar di bawah Kementerian Kewangan telah dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri yang di bawah kawalan Dr Mahathir. Begitu juga dengan Kementerian Pembangunan Usahawan yang telah dipulihkan, dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang baru dibentuk.

"Walaupun Lim Guan Eng daripada DAP dilantik sebagai menteri kewangan, kawalan ke atas syarikat utama kerajaan di bawah kawalan kuasanya, termasuk firma dana negara, Khazanah Nasional, dan dana pelaburan berasaskan bumiputera, Permodalan Nasional Bhd (PNB), telah dipindahkan kepada Jabatan Perdana Menteri yang di bawah kuasa Dr Mahathir.

"Kedua-dua GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) ini mempunyai pelaburan yang besar di syarikat-syarikat tersenarai awam terkemuka di Malaysia, ia memberi pengaruh penting kepada perdana menteri terhadap syarikat-syarikat berkenaan," kata penemuan yang dicatatkan oleh Ideas dalam "GLC Monitor 2019: State of Play Since GE14 " yang dikeluarkan hari ini.

Di bawah konfigurasi baru, badan pemikir itu berkata kawalan berkesan GLC lain dengan mandat yang jelas untuk menyokong pembangunan bumiputera dalam ekonomi dipindahkan ke Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Sementara itu, kawalan institusi SME utama lain seperti Bank SME, Bank Rakyat dan MaGIC juga dipindahkan ke Kementerian Pembangunan Usahawan.

"MOF juga terus dibebani dengan beberapa GLC yang berprestasi buruk, yang dipegang melalui syarikat induknya, Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)," kata Idea.

Dengan perubahan itu, beliau menyatakan bahawa Mahathir, yang memenuhi janji-janji PH supaya perdana menteri untuk melepaskan jawatan menteri kewangan, telah mengubah kementerian yang pernah mempunyai kuasa besar semasa zaman BN kepada kementerian yang sekadar memainkan "peranan kawal selia" dengan memantau perbelanjaan awam berasaskan peruntukan belanjawan tahunan.

Dari segi kawalan politik, Idea mendapati bahawa syarikat-syarikat yang dibebaskan dari kawalan Kementerian Kewangan - sebelum ini berada di tangan Umno melalui jawatan menteri - kini dipegang oleh Bersatu dan PKR melalui Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah , serta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Selain Dr Mahathir dan dua pemimpin Bersatu yang menerajui pembangunan luar bandar dan kementerian usahawan, Ideas juga menggambarkan timbalan presiden PKR Mohammed Azmin Ali, yang diamanahkan untuk memimpin Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, sebagai "sekutu rapat" pengerusi Bersatu dan PH.

Siri pertama laporan ini disediakan oleh ahli ekonomi Edmund Terence Gomez, Lau Zheng Zhou dan Yash Shewandas.

Lihat Komen
ADS