Undian melalui sistem khidmat ringkas (SMS) bagi mengukur populariti calon jawatan Timbalan Presiden MIC akan dihentikan Ahad ini dan tidak seperti dijadualkan pada 20 Jun depan.

Bagaimanapun, Pertubuhan Perkhidmatan Rakyat Malaysia (PPRM), selaku penganjurnya, menegaskan keputusan memendek tempoh undian itu dibuat atas niat yang baik dan "bukan kerana ada arahan daripada sesiapa".

Sebaliknya, kata Presiden PPRM, P Gunaseelan, undian SMS itu dihentikan sebagai menghormati sentimen yang dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Menurut Najib, tindakan itu boleh menimbulkan keadaan tidak menyenangkan dalam politik negara serta boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu.

Undian SMS anjuran PPRM dan majalah "Nayagan" itu dilancarkan 9 April lalu bagi mengukur siapa lebih popular antara Timbalan Presiden MIC Datuk S. Subramaniam dan Naib Presiden MIC, Datuk G. Palanivel bagi jawatan nombor dua itu, dalam pemilihan Jun depan.

Bercakap dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, Gunaseelan berkata orang ramai masih boleh menghantar SMS, dengan setiap undian dikenakan caj 50 sen, sehingga Ahad ini dan keputusan akan diumumkan pada hari berikutnya.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, semua hasil dari undian itu akan disalurkan kepada pertubuhan kebajikan.

Keputusan SMS sehingga semalam menunjukkan Subramaniam mendahului.