Mahkamah: Perkahwinan mutaah dilakukan di luar negara tidak diiktiraf
Malaysia tidak mengiktiraf perkahwinan mutaah yang dilakukan oleh penduduk Islam negara ini di luar negara, demikian menurut Mahkamah Rayuan.
Malaysia tidak mengiktiraf perkahwinan mutaah yang dilakukan oleh penduduk Islam negara ini di luar negara, demikian menurut Mahkamah Rayuan.
Hakim Mohamed Noor Abdullah berkata, perkahwinan mutaah atau perkahwinan kontrak antara sesama orang Islam atau dengan orang Yahudi, orang Kristian atau penyembah api, dengan lelaki yang mengisytiharkan kepada seorang wanita "Saya telah bersatu dengan anda" atau perkataan yang membawa maksud serupa dan menetapkan tempoh bersekedudukan serta menyatakan amaun mas kahwin yang spesifik, adalah dilarang, haram dan tidak sah.
"Kami berkewajipan untuk membetulkan salah tanggapan bahawa orang Islam di negara kita ini boleh melakukan perkahwinan mutaah di luar negara dan bahawa perkahwinan seumpama itu adalah sah dan diiktiraf mengikut undang-undang Islam," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kes yang Mahkamah Rayuan mengekalkan semula hukuman terhadap seorang ustaz yang melakukan perkahwinan mutaah dengan seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun yang diserahkan kepadanya oleh keluarga pelajar itu sebelum dia mencabul pelajar itu. Penghakiman itu diedarkan kepada media semalam.
Dalam keputusan pada 18 Januari, Mohamed Noor dan hakim-hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Gopal Sri Ram dan Datuk Azmel Ma'amor, sebulat suara mengekalkan semula hukuman penjara empat tahun dan dua rotan terhadap Ishak Shaari yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan mencabul pelajar itu selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengurangkan jumlah hukuman itu kepada penjara dua tahun tanpa rotan.
Menurut laporan Bernama, Ishak, 42, didapati bersalah mencabul kehormatan pelajar tingkatan dua itu di sebuah rumah di Taman Sebang Baru, Pulau Sebang, Alor Gajah, pada jam 2 petang 28 Jun 1995.
Mahkamah Majistret mendapati dia telah membawa pelajar itu pulang ke rumah itu dan melakukan perkahwinan mutaah dengannya selepas mengajak pelajar perempuan itu bersama-sama mengerjakan sembahyang.
Hubungan seksual
Ishak kemudian mengambil langkah bersiap sedia untuk mengadakan hubungan seksual dengan pelajar itu dan telah merabanya. Apabila pelajar itu enggan mengadakan persetubuhan itu, dia meletakkan senaskhah Quran di atas kepalanya dan memaksa pelajar itu bersumpah dengan bersaksikan kitab suci itu untuk tidak menceritakan apa yang telah berlaku di dalam rumah itu kepada sesiapa.
Mohamed Noor berkata, dengan melakukan perkahwinan mutaah, Ishak telah meniru perkahwinan yang banyak berlaku di kalangan penduduk "Sabeans dan Zoroastrians" di zaman dahulu yang telah diteruskan selepas mereka memeluk Islam.
Sri Ram, dalam penghakimannya berkata, hukuman itu tidak terlalu berat kerana kes itu jelas menunjukkan bahawa tertuduh telah menggunakan kedudukannya sebagai guru agama untuk cuba memuaskan nafsu syahwatnya.
Beliau berkata, ketidakadilan telah berlaku apabila Mahkamah Tinggi meminda tempoh hukuman penjara itu.
Katanya, Peraturan 76, Peraturan Mahkamah Rayuan 1994 memberikan kuasa kepada Mahkamah Rayuan untuk campurtangan dan mengekalkan semula tempoh hukuman penjara yang diputuskan terhadap Ishak oleh majistret.
Beliau berkata, malahan sekiranya mahkamah terkhilaf dalam mentafsirkan Peraturan 76, beliau berpendapat adalah selamat untuk bergantung pada bidang kuasanya untuk memutuskan dalam mengekalkan semula hukuman itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.