Gerbang Perdana Sdn Bhd sedang bekerjasama dengan kerajaan berhubung pilihan rekabentuk bagi akses baru Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) ke Tambak Johor.

Firma itu juga bekerjasama dengan kerajaan untuk mengemukakan Pelan Induk Projek Gerbang Selatan Bersepadu bagi menangani masalah kesesakan lalulintas, dengan meninjau semula skim penyuraian lalu lintas.

Pengarah Urusannya Datuk Yahya A. Jalil berkata beliau sudah memulakan perbincangan dengan perunding lalulintas Jabatan Kerjaraya dan pelbagai agensi kerajaan negeri yang berkaitan, dalam mengkaji semula skim penyuraian lalulintas, yang juga mengambil kira kewujudan Pelan Struktur Johor Bahru.

"Penyelesaian mungkin memerlukan aturan yang dirombak semula bagi skim penyuraian lalulintas, terutama daripada rangkaian jalanraya utama, termasuk jalanraya lingkaran dalam, Jalan Tun Abdul Razak dan sambungan yang baru dicadangkan, Eastern Dispersal Link," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan kerajaan membatalkan rancangan menggantikan Tambak Johor yang berusia 80 tahun itu dengan jambatan baru.

Kesan kepada penduduk

Menurut laporan Bernama, Yahya berkata, kajian semula itu perlu mengambil kira aspek kesesakan di bandaraya Johor Bahru.

"Faktor sosio-ekonomi juga diambil kira kerana ia turut memberi kesan kepada penduduk Johor," katanya.

Menurutnya, usaha merekabentuk dan membina akses baru di tengah-tengah bandaraya yang sesak dan pada masa yang sama meminimakan kesesakan lalulintas, merupakan satu tugas yang amat mencabar.

"Usaha mencari penyelesaian optimum bagi akses baru untuk memastikan keberkesanan dan kelicinan pergerakan lalu lintas serta penyuraiannya adalah satu usaha yang kritikal dan perlu disegerakan," katanya.

Berhubung pampasan kerajaan, Yahya berkata beliau akan berbincang dengan kerajaan berhubung perkara itu selepas mengkaji keadaan, bersama-sama dengan mereka yang terbabit dalam projek berkenaan.