TNB setuju kekal taraf lama bagi penggunaan RM30 sebulan
Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersetuju untuk tidak akan menaikkan tarif elektrik bagi golongan berpendapatan rendah yang bil elektrik bulanan mereka bernilai RM30 ke bawah.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersetuju untuk tidak akan menaikkan tarif elektrik bagi golongan berpendapatan rendah yang bil elektrik bulanan mereka bernilai RM30 ke bawah.
Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Che Khalib Mohamad Noh berkata, sekiranya kerajaan menerima cadangan tersebut, sekitar 40 peratus pengguna di negara ini tidak akan terjejas dengan kenaikan tarif elektrik.
K atanya, cadangan tersebut dipersetujui secara dasar dalam perbincangan antara TNB, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, dan agensi berkaitan.
"Secara dasar dalam perbincangan itu, kita bersetuju, golongan berpendapatan rendah tidak akan dikenakan kenaikan tarif. Ini membabitkan penggunaan tidak lebih RM30 sebulan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan terkini dalam kajian semula tarif elektrik selepas Kabinet baru-baru ini meminta cadangan kenaikan 10 peratus oleh TNB sebelum itu disemak semula dengan mengambil kira golongan berpendapatan rendah dan sektor perindustrian.
Che Khalib bagaimanapun berkata beliau tidak tahu bilakah kerajaan akan membuat keputusan mengenai perkara itu.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik semalam dilaporkan berkata rakyat perlu bersedia berbelanja lebih untuk membayarpenggunaan tenaga elektrik pada masa akan datang.
Bayar balik pinjaman
Che Khalib berkata, apa yang penting kepada TNB sekarang ialah kajian semula tarif dipersetujui memandangkan syarikat tersebut sedang menghadapi masalah kewangan sehingga terpaksa meminjam dari luar bagi membayar balik pinjaman dan juga perbelanjaan modal.
"Masyarakat sudah lupa bahawa kenaikan tarif terakhir ialah pada 1997. Sepanjang sembilan tahun lalu, bermacam-macam kos meningkat -- kos bahan api, kos peralatan TNB, kos perburuhan. Kita ini macam span, menyerap segala bebanan kos sehingga kita sudah sampai ke satu tahap yang tidak boleh diteruskan lagi," jelasnya.
Malah, katanya, keupayaan TNB bertahan sepanjang sembilan tahun tanpa kenaikan tarif adalah suatu yang membanggakan jika dibanding dengan jumlah bebanan kos yang terpaksa ditanggung.
"Kita juga sudah kemukakan cadangan kepada kerajaan supaya kajian semula tarif ini dibuat dalam dua atau tiga tahun sekali dengan kenaikan yang kecil, seperti yang dibuat di Korea.
"Sebab kalau kita praktis kenaikan jangka panjang bermakna kadar kenaikan adalah lebih tinggi sebab kita hendak mendapatkan balik kos yang kita tanggung sebelum itu, tapi kalau kajian dibuat dalam jangka pendek kadar tidak tinggi dan rakyat tidak terasa sangat," katanya.
Mengenai arahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu TNB berbincang dengan penjana tenaga bebas (IPP), Che Khalib berkata syarikat itu akan berbincang dengan kementerian berkenaan bagi mengambil langkah seterusnya.
Temui Pemuda Umno
Ditanya sama ada IPP punca bebanan kos yang tinggi kepada TNB, beliau berkata banyak faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan kos syarikat utiliti tersebut.
"Untuk hasilkan tenaga kita guna gas dan arang batu. Harga gas kerajaan boleh kawal tetapi arang batu kita import dan harga ditentu oleh pembekal asing.
"Dalam 18 bulan lalu harga arang batu meningkat sebanyak 80 peratus disebabkan harga petrol naik mendadak. Jadi, walaupun kita cuma guna 30 peratus arang batu, 65 peratus gas, namun kos arang batu itu ialah 40 peratus daripada kos keseluruhan pengeluaran tenaga," katanya.
Mengulas mengenai permintaan Pemuda Umno untuk bertemu dengan TNB bagi mendapatkan penjelasan, Che Khalib berkata satu taklimat kepada Biro Ekonomi pergerakan itu akan diadakan pada Isnin ini.
"Alhamdulillah, pihak Pemuda memahami masalah dan beban yang terpaksa ditanggung TNB dan kita akan perjelaskan kedudukan kita," katanya.
Beliau mengulangi bahawa syarikat itu tidak mempunyai pilihan dan rakyat terpaksa menerimanya kerana "jika kita tidak kaji tarif tahun ini, bukan bermakna kita boleh melupakan kos sebelum ini. Ia akan berlipat ganda."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.