Saham-saham Pharmaniaga Bhd di Bursa Malaysia susut 36 sen kepada RM2.14 sehingga pada 2.53 petang berikutan pengumuman bahawa konsesi pengedaran serta pembekalan ubat-ubatan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berakhir.

Sejumlah 536,700 saham ditransaksikan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika mengumumkan perkara itu berkata, sistem tender terbuka akan diperkenalkan dan tidak akan ada lagi, konsesi bagi perkhidmatan logistik serta pengedaran.

Konsesi Pharmaniaga untuk membeli, menyimpan, membekal dan mengedarkan sekurang-kurangnya 700 produk farmaseutikal pada senarai pembelian produk yang diluluskan (APPL) akan tamat menjelang 30 Nov.

Menurut Laporan Tahunan Pharmaniaga 2018, jualan produk APPL syarikat itu ke KKM meningkat sembilan peratus pada tahun lepas kepada RM1.2 bilion.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2018, kumpulan itu telah mencatatkan keuntungan boleh agih bersih berjumlah RM42.47 juta ke atas hasil sebanyak RM2.38 bilion.

Syarikat itu berkata, Tinjauan Produk APPL 2017-2019 merangkumi 136 produk baharu, ini merekodkan pengembangan rangkaian produk APPL sebanyak 20 peratus kepada hampir 750 produk.

- Bernama