Msia tidak mengalah kepada Singapura, kata Najib
Malaysia menafikan yang ia telah 'mengalah' kepada Singapura apabila kerajaan membuat keputusan mengejut membatalkan pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor.
Malaysia menafikan yang ia telah 'mengalah' kepada Singapura apabila kerajaan membuat keputusan mengejut membatalkan pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor.
Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipetik oleh akhbar New Straits Times sebagai berkata, ia dibuat berikutan kegagalan rundingan (dengan Singapura).
"Lebih baik kita mengambil pendirian sekarang, daripada terbabit dengan pertikaian perundangan dengan Singapura kemudian," katanya sambil menambah, keputusan itu dibuat selepas ia dikaji semasak-masaknya.
Malaysia membatalkan rancangannya untuk membina jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor kerana tidak dapat menerima syarat-syarat Singapura yang mahu dibenarkan menggunakan ruang udara Malaysia dan mendapatkan bekalan pasir untuk penambakan laut di republik itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini berkata, rakyat mahu kerajaan menolak permintaan Singapura itu sebagai syarat persetujuan pembinaan jambatan berkenaan.
Beliau juga berkata, Malaysia juga menjangka berlaku pertikaian perundangan sekiranya ia meneruskan projek tersebut tanpa persetujuan Singapura.
Pertikaian perundangan
Najib berkata, Malaysia tidak mahu terbabit dalam pertikaian perundangan yang berpanjangan berhubung perkara tersebut.
"Kini ia kembali kepada status quo, yang bermakna kita tidak mengalah kepada Singapura," katanya dalam laporan akhbar The Star .
"Diharap Singapura akan menyedari bahawa (pembinaan) jambatan itu baik untuk kedua buah negara dan mereka akan bersikap lebih munasabah dalam membuat tuntutan," tambahnya.
Ditanya sama beliau masih menganggap Singapura sebuah negara jiran yang baik, Najib berkata: "Saya tidak mahu cakap. Biarlah rakyat berfikir dan membuat keputusan."
Singapura dan Malaysia terbabit dalam pertikaian mengenai banyak isu dan rundingan mengenainya juga tidak banyak menunjukkan banyak kemajuan.
Isu-isu lain termasuklah harga bekalan iar ke Singapura, masa depan tanah milik Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Singapura dan tuntutan terhadap Pulau Putih.
- AFP


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.