Hamdan: Suhakam tidak pilih warna kulit
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini menafikan bahawa soal kaum atau keturunan menjadi faktor penentu dalam kes-kes yang disiasat oleh badan pemantau tersebut.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini menafikan bahawa soal kaum atau keturunan menjadi faktor penentu dalam kes-kes yang disiasat oleh badan pemantau tersebut.
Pesuruhjayanya, Prof Hamdan Mohd Adnan yang mempengerusikan jawatankuasa aduan dan siasatan Suhakam menafikan demikian sebagai menjawab tuduhan bahawa jawatankuasa berkenaan lebih mengutamakan rakyat Malaysia keturunan Melayu.
Sebaliknya, kata beliau, sebahagian besar kes-kes kematian dalam tahanan, yang disiasat oleh jawatankuasa tersebut, membabitkan rakyat Malaysia keturunan India.
"Adalah tidak adil untuk mengatakan Suhakam tidak mengambilkira soal warna kulit, kaum dan agama. Kita melihat kepada kejadian yang berlaku," katanya ketika dihubungi.
Beliau diminta mengulas dakwaan Jawatankuasa Hak Asasi Manusia dan Pemantau Polis (PWHRC) yang menuduh Suhakam telah mendiskriminasikan hak dalam perlembagaan Saravanan Meyalagam yang mati dalam tahanan polis, untuk mendapatkan perlindungan undang-undang.
Penasihat Undang-undang PWHRC, P Uthayakumar mendakwa, walaupun Suhakam telah menulis kepada pihak berkuasa mengenai Saravanan yang mati sehari sebelum Ilias Othman yang juga mati dalam tahanan polis suruhanjaya itu mengumumkan pada 10 April bahawa ia hanya akan menyiasat kes Illias.
Katanya, PWHRC juga tidak pernah "melupakan atau memaafkan" Suhakam kerana gagal menjalankan siasatan terhadap tragedi Kampung Medan pada 2001. Kejadian pergaduhan tersebut telah mengorbankan enam nyawa dan ramai yang cedera.
'Tuduhan berat sebelah'
Sementara itu, Hamdan berkata, Suhakam tidak sepatutnya dilempar tuduhan berat sebelah seumpama itu, sedangkan suruhanjaya berkenaan aktif dalam menyiasat sebanyak mungkin kes-kes yang sampai ke pengetahuannya di seluruh negara.
Hamdan berkata, beliau baru sahaja pulang dari Menggatal, Sabah untuk menyiasat satu kejadian di sebuah tahanan imigresen di mana para tahanannya merusuh kerana terlalu lama ditahan di situ.
"Malah kami menyiasat kes-kes pelanggaran hak asasi manusia yang membabitkan pendatang tanpa izin, apatah lagi kes-kes yang membabitkan rakyat kita sendiri," tegasnya.
Hamdan berkata, jika ada kes-kes yang tidak disedari oleh Suhakam, ianya bermakna lapoaran mengenainya tidak sampai ke tangan jawatankuasa berkenaan.
"Jika PWHRC tahu mengenai kes-kes (yang kami tidak tahu), maka mereka mestilah datang dan berjumpa dengan saya atau salah seorang pesuruhjaya Suhakam," tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.