Dr M: Tidak munasabah Spura anggap pindah paip air satu tindakan peperangan'
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata adalah tidak munasabah jika Singapura mengatakan pengalihan paip air ke republik tersebut merupakan satu 'tindakan ke arah peperangan" kerana Malaysia berhak berbuat demikian di bawah perjanjian dengan negara berkenaan.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata adalah tidak munasabah jika Singapura mengatakan pengalihan paip air ke republik tersebut merupakan satu 'tindakan ke arah peperangan" kerana Malaysia berhak berbuat demikian di bawah perjanjian dengan negara berkenaan.
Katanya, di bawah perjanjian dengan Singapura itu, Malaysia berhak mengalihkan paip yang membekalkan air ke republik itu atas sebab-sebab tertentu, dengan memberi notis kepadanya kira-kira enam bulan sebelum pengalihan itu dilakukan.
"Kita telah membuktikan bahawa perjanjian itu (pengalihan paip-paip tersebut) adalah sah kerana kita telah mengalihkan paip-paip air mereka yang berada di darat apabila kita membina jalanraya dan stesen keretapi yang baru (di bawah projek Gerbang Selatan Bersepadu).
"Jadi, jika dia (Singapura) kata (pengalihan paip air) itu merupakan 'act of war', ini adalah tidak munasabah sama sekali," katanya dalam sidang media selepas melawat tapak pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) yang baru bernilai RM2.5 bilion di sini hari ini.
Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum bersara pada 2003 berkata kerajaan sudah mengkaji isu mengenai paip air itu dengan teliti sebelum ini kerana beliau sendiri terlibat dengan pelaksanaan projek Gerbang Selatan Bersepadu itu sejak dari awal lagi.
"Di bawah peruntukan perjanjian itu juga sebarang kos pengalihan paip-paip air tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh Singapura," katanya ketika ditanya pandangannya mengenai implikasi undang-undang sekiranya Malaysia bertindak mengalihkan paip air ke Singapura itu secara sebelah pihak.
Dr Mahathir berkata, jika pentadbiran negara pada masa ini berasa ragu-ragu terhadap peruntukan perjanjian tersebut, mereka boleh merujuknya sama ada kepada mahkamah Malaysia atau mahkamah antarabangsa.
Rujuk pada mahkamah
"Ia seperti kes Pulau Sipadan dan Ligitan di antara kita dan Indonesia, di mana kita telah membawanya ke mahkamah antarabangsa dan mereka telah memutuskannya ia (hak ke atas kedua-dua pulau itu) adalah milik kita dan Indonesia menerimanya," katanya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata rakyat negara ini terutama di Johor hanya menolak dua syarat yang dikemukakan oleh Singapura -- penjualan pasir kepada republik itu dan penggunaan ruang udara Malaysia oleh tentera Singapura -- tetapi tidak menolak pembinaan jambatan bengkok bagi
menggantikan Tambak Johor.
Justeru, beliau mencadangkan agar satu pungutan suara diadakan di kalangan rakyat Johor untuk mengetahui pandangan mereka tentang keputusan kerajaan tentang pembatalan pembinaan jambatan bengkok itu.
"Terus-terang saya katakan bahawa saya tidak bersetuju dengan pandangan kerajaan bahawa rakyat tidak mahu jambatan bengkok itu," kata Dr Mahathir.
Mengenai kenyataan Menteri Luar Singapura George Yeo bahawa tidak timbul soal menang atau kalah berhubung keputusan kerajaan Malaysia untuk membatalkan pembinaan jambatan itu, Dr Mahathir berkata: "Singapura memang ingat dia tidak menang tetapi Malaysia kalah."
Ditanya perasaannya selepas melawat projek Gerbang Selatan Bersepadu termasuk pembatalan pembinaan jambatan itu, beliau berkata ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan.
"Saya menyembunyikan perasaan sedih saya kerana jika saya buat (menangis) (seperti) ketika saya buat pengumuman peletakan jawatan (pada 2002), saya malu kat awak (pemberita), jadi saya ketawa.
'Saya tidak setuju'
"Kerana saya tidak percaya bahawa sebelum saya meninggal dunia, tak tahu berapa lama lagi kerana saya sudah berumur 80 tahun, kedaulatan negara kita boleh dicabul dengan begitu mudah. Kita undur seolah-olah kita 'surrender' tanahair kita kepada orang," katanya.
Dr Mahathir berkata dalam isu jambatan itu, Malaysia kehilangan sedikit sebanyak kemerdekaannya kerana ia tidak berupaya untuk berbuat sesuatu seperti membina jalan raya dan jambatan di kawasan tertentu di dalam wilayahnya sendiri.
Rabu lepas, ketika mengumumkan pembatalan projek itu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan mengambil keputusan itu setelah mengambil kira sentimen rakyat dan implikasi undang-undang.
Yang turut hadir pada lawatan itu ialah Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Pengerusi Gerbang Perdana Sdn Bhd Tan Sri Razali Ismail dan Pengarah Urusannya Datuk Yahya A. Jalil serta pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional Johor.
Sementara itu, di Kota Tinggi, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata Malaysia tidak mempunyai banyak isu lagi yang perlu dirundingkan dengan Singapura setelah kerajaan memutuskan untuk membatalkan pembinaan jambatan indah.
Isu CPF
Katanya, antara isu yang belum selesai ialah mengenai harga air yang dibekalkan ke Singapura dan beberapa perjanjian perdagangan yang masih belum mendapat persetujuan negara itu.
"Soal CPF (Kumpulan Wang Simpanan Pusat) sudah tidak menjadi isu lagi sebab pada tahun 1995 Singapura telah meminda undang-undangnya yang tidak memerlukan pencarum yang bukan rakyat mencarum kepada CPF," katanya kepada pemberita selepas merasmikan taman permainan kanak-kanak di Dewan Serbaguna Datuk Osu di Felda Lok Heng hari ini.
Syed Hamid berkata beliau difahamkan kini hanya tinggal lima orang sahaja lagi warganegara Malaysia yang mempunyai simpanan di CPF.
Isu simpanan CPF rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu pernah menjadi pertikaian antara kedua-dua negara kerana ia membabitkan jumlah simpanan yang agak besar sehingga mencecah beberapa bilion dolar Singapura.
Syed Hamid juga menggesa orang ramai supaya berhenti membahaskan isu berkenaan "kerana terlalu banyak masa sudah dibazirkan di meja rundingan".
"Terdapat banyak lagi isu lain seperti pembangunan di Johor yang perlu diberi perhatian," tambah beliau.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.