Kerajaan Pulau Pinang membentangkan belanjawan defisit sebanyak RM273.50 juta bagi tahun 2020, iaitu 30.88 peratus lebih rendah jika dibandingkan dengan anggaran defisit tahun 2019 yang berjumlah RM395.69 juta.

Ketua menteri Chow Kon Yeow membentangkan belanjawan itu di dewan undangan negeri hari ini.

"Anggaran defisit tahun 2020 berkurang kerana anggaran perbelanjaan mengurus tahun 2020 adalah sebanyak RM792.66 juta, berbanding tahun 2019 sebanyak RM901.19 juta, iaitu pengurangan sebanyak RM108.53 juta atau 12.04 peratus.

"Sebab utama pengurangan belanja mengurus ini adalah disebabkan oleh caruman ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri bagi tahun 2020 diperuntukkan sebanyak RM150 juta berbanding RM230 juta pada tahun 2019," katanya.

Pengurangan caruman itu, jelasnya, adalah dengan mengambil kira bayaran balik pinjaman daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kepada kerajaan negeri pada tahun 2020.

"Maka adalah ditegaskan pengurangan caruman ini tidak akan menjejaskan projek-projek pembangunan yang telah dirancang pada tahun 2020," tegasnya.

Sementara itu, Chow berkata Pulau Pinang merupakan penyumbang kelima tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional dengan nilai sebanyak RM91.18 bilion atau 6.7 peratus daripada KDNK tahun 2018.

"Sehingga Jun 2019, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan pelaburan berjumlah RM9.2 bilion dan ini adalah lebih tinggi berbanding RM5.8 bilion pada keseluruhan tahun 2018.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM8.7 bilion adalah pelaburan asing, manakala RM0.5 bilion adalah pelaburan tempatan. Ini menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang mencatatkan jumlah pelaburan pembuatan tertinggi di Malaysia dan mewakili 35 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) nasional," katanya.

Chow juga memaklumkan bahawa industri elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai penyumbang pelaburan tertinggi untuk Pulau Pinang dengan jumlah 93 peratus.

"Ini menjadikan Pulau Pinang terus kekal relevan sebagai lokasi pelaburan strategik yang menjadi tumpuan pelabur," katanya.

Sementara itu, peruntukan bagi memelihara kepentingan agama Islam adalah sebanyak RM60.05 juta, berbanding RM56.8 juta pada belanjawan 2019.

Program kebajikan iSejahtera pula diteruskan dengan peruntukan RM50.0 juta.

Kerajaan negeri juga mengumumkan kenaikan bayaran penghargaan warga emas daripada RM130 setahun kepada RM150 setahun yang dijangka memberi manfaat kepada 178,000 warga emas di negeri berkenaan, dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM26.7 juta.

Kadar bantuan orang kurang upaya (OKU) turut dinaikkan daripada RM130 setahun kepada RM150 setahun yang akan melibatkan hampir 10,000 penerima dan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.