Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peruntukan RM2.33 bilion untuk Belanjawan Selangor 2020 - MB

Menteri Besar, Amirudin Shari hari ini membentangkan sebanyak RM2.33 bilion untuk Belanjawan Negeri Selangor 2020 berbanding RM2.56 bilion yang diperuntukan tahun lalu.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.20 bilion atau 51.44 peratus telah diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.13 billion atau 48.56 peratus lagi untuk perbelanjaan pembangunan.

“Belanjawan 2020 dijangka akan mengalami defisit berjumlah RM1.33 juta berpunca daripada peruntukan pembangunan yang substantif untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan.

“Jumlah defisit ini menyaksikan penurunan berbanding jumlah defisit tahun 2019 yang iaitu RM360 juta.

“Pengalaman belanjawan yang lalu membuktikan perbelanjaan berhemah, memperkukuh budaya kerja cekap dan berintegriti dan menutup ruang pembaziran serta ketirisan telah berjaya mengurangkan belanjawan defisit kepada satu jumlah yang munasabah,” katanya dalam ucapan semasa pembentangan itu di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.

Tema belanjawan Selangor 2020 adalah Selangor Negeri Unggul, Kehidupan Bermartabat.

Dalam pada itu kata Amirudin, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan Dasar Penilaian Perolehan Secara Sistem 'Cut-off' mulai dari tahun 2015 bagi menilai semua tender dan sebut harga yang dipelawa secara terbuka.

Menurutnya, dasar tersebut dirangka berteraskan konsep integriti dan nilai untuk wang (value for money).

“Sejak pelaksanaannya, sejumlah 574 projek dengan anggaran kos sebanyak RM4 bilion telah dinilai. Hasil daripada pelaksanaan kaedah ini yang dibuat secara telus dan berintegriti, maka sehingga 18 Oktober 2019, Kerajaan Negeri telah merekodkan penjimatan sebanyak RM 545.4 juta.

“Berkat daripada langkah Kerajaan Negeri melaksanakan perbelanjaan secara berhemah inilah yang hasilnya dipulangkan semula kepada rakyat melalui pelbagai program pembangunan dan insentif," katanya.

Lihat Komen
ADS