Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
SPR: Masa mengundi dipanjangkan sampai 5.30 petang
Diterbitkan:  Nov 2, 2019 1:28 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

PRK TG PIAI | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan beberapa penambahbaikan terhadap proses pengundian pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai pada 16 November termasuk memanjangkan waktu mengundi dari 8 pagi hingga 5.30 petang, berbanding hanya 5 petang sebelum ini.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata selain itu, bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas akan diwujudkan dua saluran, dan pihaknya turut menambah 26 saluran baru di pusat mengundi yang ramai pengundi menjadikan keseluruhan 127 saluran berbanding 101 saluran sebelum ini.

“Bagi pengundi OKU (Orang Kurang Upaya), mereka mengundi di saluran satu. Seramai 981 orang pengundi OKU telah dikenal pasti dan berdaftar dengan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat),” katanya pada sidang media selepas selesai proses penamaan calon PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Pontian hari ini.

Katanya SPR juga akan menyiarkan proses pengiraan undi secara langsung melalui Facebook dengan mengambil kira kesesuaiannya di satu saluran di pusat mengundi yang terpilih dan usaha ini adalah sebagai satu pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai proses pengiraan undi semasa pilihan raya.

“(Penambahbaikan lain) penghantaran Kad Pengundi yang mengandungi maklumat daftar pemilih seperti Pusat Mengundi, Saluran, Nombor Bilangan dan Masa Mengundi kepada 52,978 orang pengundi untuk kemudahan dan kelancaran proses mengundi. Bagaimanapun pengundi masih perlu membawa kad pengenalan sebagai pengesahan identiti untuk mengundi,” katanya.

Azhar berkata SPR turut menyediakan Surat Aku Janji untuk ditandatangani oleh semua calon yang bertanding.

Katanya Aku Janji itu mengandungi 10 janji untuk mematuhi segala peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan mana-mana undang-undang serta peraturan yang berkaitan sepanjang tempoh 14 hari berkempen bermula selepas pengisytiharan nama calon-calon hari ini sehingga 11.59 malam pada 15 November ini.

“Selain itu, bagi tujuan memantau aktiviti berkempen sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR telah menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) selaras dengan Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Katanya selain itu, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah membuka bilik gerakannya di Pejabat SPRM, Kompleks Pejabat SPRM Johor di Tampoi dan akan beroperasi selama 24 jam.

“Pegawai-pegawai SPRM juga akan membuat pemantauan di lapangan,” katanya.

Azhar berkata calon dibenarkan untuk mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti yang diwakilinya termasuklah lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti komponen yang berdaftar secara rasmi.

“Bahan kempen yang mengandungi perkataan-perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan. PP-KPR boleh menurunkan bahan kempen yang berunsur negatif atau melanggar peruntukan undang-undang pilihan raya,” katanya.

Azhar berkata bagi pengundi yang tidak menerima Voter’s Card mereka disaran membuat semakan Daftar Pemilih lebih awal untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal SPR atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui SMS 15888 atau menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak.

Katanya pada PRK kali ini, SPR telah melantik 91 orang pemerhati pilihan raya daripada 13 organisasi seperti agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta tiga individu yang berkelayakan untuk memantau perjalanan proses pilihan raya ini.

Beliau berkata SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi untuk PRK ini adalah lebih kurang 70 peratus dan keputusan PRK dijangka sebelum 10 malam.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine Sardini, 66, mewakili Pakatan Harapan, Wee Jeck Seng, 55, (Barisan Nasional), Wendy Subramaniam, 38, (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz, 56, (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia) serta dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen Ang Chuan Lock, 49 dan seorang ahli perniagaan Faridah Aryani Abd Ghaffar, 45.

- Bernama

Lihat Komen
ADS