Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

PRK TG PIAI | Pemimpin Umno dan PAS mungkin mengisytiharkan PRK Tanjung Piai sebagai ujian litmus untuk Muafakat Nasional yang dimeterai mereka, namun bagi calon BN Wee Jeck Seng, ia bukan perkara utama untuknya.

Wee yang merupakan ketua MCA Tanjung Piai berkata beliau percaya pengundi di kawasan parlimen itu ialah komuniti yang harmoni dan selalunya tidak mahu terlibat dalam soal kaum dan agama.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama media bahasa Cina, ketika ditanya bagaimana untuk menjustifikasikan kerjasama Umno dan PAS jika ditanya oleh pengundi Cina.

Beliau berkata mereka tidak pernah membangkitkan isu itu.

"Pengundi saya baik terhadap saya, mereka tidak pernah bertanya tentang perkara ini," katanya sambil ketawa.

"Ini kerana mereka tahu bahawa (apa yang penting) bukanlah isu ini," katanya lagi.

Wee enggan menjelaskan lebih lanjut berkenaan kerjasama Umno dan PAS tetapi menegaskan beliau mengalu-alukan sokongan daripada semua pihak.

"Setiap undi penting. Selagi ada undi untuk saya, saya gembira. Tidak kisah dari parti mana ia datang."

Menjadikan kerjasama antara DAP dengan Amanah sebagai contoh, beliau berkata kerjasama antara parti pembangkang tidak mustahil selagi mereka berkongsi kepentingan yang sama.

"Pendirian MCA sangat mudah - selagi ia selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Walaupun PAS tiada hubungan rasmi dengan MCA, kerjasamanya dengan Umno menerusi Muafakat Nasional menyebabkan parti itu menggunakan pendekatan mesra dengan parti komponen BN.

Ditanya sama ada hubungan Umno-PAS tidak menjadi isu untuk PRK Tanjung Piai, Wee berkata: 'Soalnya bukan sama ada ia jadi isu atau tidak, ia hanya soal pendirian...Tiada keperluan untuk rumitkan perkara dengan isu sampingan dan ia bukanlah sesuatu yang untuk diperkatakan".

Elak isu kaum dan agama

Wee tidak menyentuh isu kaum dan agama dalam wawancara itu.

Misalnya ketika beliau diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya yang menyifatkannya sebagai "jurujual Cina yang menjual barangan Melayu-Islam".

Ahmad Yahaya

Dalam kenyataan itu, Ahmad membandingkannya dengan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini yang menurutnya "produk yang menggunakan nama Melayu-Islam tetap pemiliknya adalah orang bukan Islam (DAP)."

Wee berkata tiada keperluan untuk mengulas perkara itu.

"Kawasan parlimen ini sangat harmoni. Tanpa mengira sama ada Cina, Melayu, mereka dari agama lain atau 'Bangsa Johor', semua orang hidup dalam keadaan harmoni dan soal agama tidak kerap diperkatakan.

"Setiap orang boleh ada pandangan, saya tidak perlu memberi respons kepadanya," katanya lagi.

Katanya mesej yang datang daripada kerajaanlah yang mempunyai kesan dan perlu dilihat.

Maka, katanya lagi, kenyataan yang disuarakan ketika Kongres Maruah Melayu bulan lalu yang dihadiri Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad adalah membimbangkan.

Antaranya adalah seruan untuk menutup sekolah vernakular, katanya.

"Kerajaan yang memegang kuasa dan boleh membuat keputusan."

Katanya, mustahil universiti awam akan terlibat dengan acara itu jika tidak dibenarkan kerajaan.

'Memastikan PH tunai janji'

Wee berkata beliau sentiasa mengutamakan kebajikan penduduk di situ ketika menjadi anggota parlimen Tanjung Piai sejak 2008 hingga 2018, antaranya mengagihkan beras dan minyak masak kepada 5,400 keluarga miskin setiap tiga bulan.

Selain itu beliau turut membantu mereka dalam permohonan untuk mendapatkan bantuan kerajaan, katanya.

Walaupun kali ini kemenangannya adalah sebagai pembangkang, Wee berkata beliau boleh memastikan kerajaan PH menunaikan sejumlah pengumuman yang telah dibuat untuk Tanjung Piai agar ia tidak tinggal sebagai janji sahaja.

Pada PRU ke-14, Allahyarham Md Farid Md Rafik menewaskannya dengan perbezaan 524 undi. Farid mendapat 21,255 manakala Wee meraih 20,731 undi.

Selain Karmaine, Wee turut disaingi empat lagi calon iaitu Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan) dan dua calon Bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK Tanjung Piai bermula secara rasmi selepas penamaan calon semalam, manakala hari pembuangan undi ditetapkan pada 16 November.

 

Lihat Komen
ADS