Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hisham: MCA tanding PRK Tanjung Piai bukti BN tak rasis

PRK TG PIAI | Keputusan meletakkan pemimpin MCA sebagai calon untuk PRK Tanjung Piai membuktikan BN tidak mengamalkan politik perkauman, kata bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein.

Malah Hishammuddin yang merupakan anggota parlimen Sembrong itu berkata ia berlaku selepas pemeteraian Piagam Muafakat Nasional antara PAS dan Umno dikritik sesetengah pihak sebagai perkauman.

“Saya lega untuk (PRK) Tanjung Piai ini. Apa yang penting BN buktikan bahawa kita bukan parti perkauman.

"Saya juga tengok penerimaan jentera dan orang Melayu (di sana) akan membuka landskap baru dalam politik Malaysia," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Calon BN, Wee Jeck Seng merupakan bekas anggota parlimen di sana selama dua penggal, iaitu sejak 2008 hingga 2018, sebelum dikalahkan oleh Allahyarham Md Farid Md Rafik dengan perbezaan 524 undi.

Hishammuddin menyuarakan harapan agar pengundi di kawasan itu akan mengundi Wee yang disifatkan sebagai sahabatnya.

"PAS boleh terima (calon) MCA (maka) saya harap pengundi Tanjung Piai juga boleh terima sahabat saya dan kita boleh bergerak ke hadapan (daripada politik perkauman)," katanya yang juga bekas menteri pertahanan.

Pencalonan Wee mengundang kritikan terhadap PAS yang sebelum ini menggesa pengundi memilih calon beragama Islam berbanding yang bukan Islam.

Bagaimanapun Ketua Ulama PAS Pusat, Dr Nik Zawawi Salleh berkata larangan itu tidak mutlak dan bergantung kepada keadaan tertentu, manakala Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya menyamakan sokongan kepada Wee seperti membeli “barangan Melayu-Islam yang dijual oleh jurujual Cina”.

Lihat Komen
ADS