Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan Sharafuddin titah zakat Selangor hanya untuk orang Islam
Diterbitkan:  Nov 4, 2019 6:34 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa wang hasil kutipan zakat di negeri itu hanya akan diagihkan kepada orang Islam.

Titah itu disampaikan menerusi setiausaha sulit baginda, Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan hari ini, yang menurutnya susulan kenyataan "dua mufti dan seorang ahli politik" berkenaan agihan zakat kepada orang bukan Islam baru-baru ini.

"Berkaitan dengan isu ini, DYMM Sultan Selangor telah mendapat nasihat daripada Mufti Selangor (Mohd Tamyes Abd Wahid) bahawa agihan zakat kepada bukan Islam dibolehkan hanya jika ia menjadi penyebab individu terbabit memeluk Islam, di bawah asnaf Mu’allafati Qulubuhum.

"Sehubungan itu, DYMM Sultan Selangor menegaskan bahawa mengikut Islam, kutipan zakat hendaklah diagihkan kepda lapan golongan asnaf, termasuk fakir, miskin dan mu'allaf daripada kalangan umat Islam sahaja," kata kenyataan itu.

Menurut laman Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, lima lagi golongan asnaf ialah amil, Al-Riqab, Al-Gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil.

Pada 1 November lalu, Perlis meluluskan fatwa membolehkan zakat diberi kepada bukan Muslim di bawah asnaf muallafah qulubuhum iaitu golongan yang ingin diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam.

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata golongan bukan Muslim layak menerima bantuan berkenaan atas syarat yang ditentukan oleh pemerintah.

Sebelum itu, pada 30 Oktober, Presiden PKR Anwar Ibrahim juga mengusulkan agar institusi zakat memperluas bantuan kepada orang bukan Islam.

Ia mengundang reaksi tiga mufti iaitu Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman dan Mufti Selangor yang berkata zakat hanya boleh diberikan kepada orang Islam sahaja, manakala Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor berkata hal itu terserah kepada kerajaan pusat namun umat Islam perlu diberi keutamaan.

Kata kenyataan itu juga, walaupun Islam menekankan perikemanusiaan, zakat yang diperolehi daripada umat Islam hendaklah diagihkan di kalangan umat Islam dahulu, sementara menjadi tanggungjawab kerajaan menerusi jabatan dan agensi untuk membantu orang bukan Islam yang miskin.

Lebih-lebih lagi masih ramai orang Islam di Selangor yang miskin dan perlu dibantu menggunakan hasil kutipan zakat, ditambah pula jumlah umat Islam di negeri itu bertambah setiap tahun, kata kenyataan itu lagi.

“Sultan Selangor meminta agar isu berkaitan dengan pengagihan zakat ini tidak lagi diperdebatkan secara terbuka di media massa...dan menggesa agar tiada pihak mengambil kesempatan menggunakan isu berkaitan Islam untuk meraih populariti atau mengambil hati pihak tertentu.

“Sultan Selangor menegaskan sekali lagi bahawa hasil kutipan zakat di negeri Selangor akan kekal diagihkan kepada lapan golongan asnaf di kalangan umat islam,” kata kenyataan itu lagi. 

Lihat Komen
ADS