Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pampasan 1MDB: Malaysia masih berunding dengan Goldman Sachs

Malaysia masih berunding dengan Goldman Sachs mengenai jumlah pampasan berhubung skandal 1MDB yang dijangka dapat diperoleh daripada bank pelaburan dan syarikat perkhidmatan kewangan itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berada di Bangkok sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-35, berkata Kuala Lumpur menolak tawaran Goldman Sachs sebelum ini yang dianggap terlalu rendah.

"Mereka telah menyebabkan kita kehilangan kira-kira US$7 bilion. Mereka mungkin tidak mahu membayar jumlah itu. Tawaran (pampasan) mereka terlalu rendah, kerana itu kita tidak menerima tawaran mereka," katanya kepada media Malaysia ketika ditanya mengenai perkara berkenaan di Bangkok hari ini.

“Tetapi berapa banyak kita bersedia menerima, tentu saja, ia berdasarkan rundingan, daripada rundingan luar mahkamah. Tetapi jika kita tidak dapat mencapai persetujuan, kita perlu ke mahkamah, " kata beliau.

Dalam temu bual dengan Financial Times baru-baru ini, Dr Mahathir dipetik sebagai berkata bahawa Goldman Sachs telah menawarkan 'kurang daripada AS$2 bilion', jumlah yang Malaysia tidak berpuas hati.

"Kami tidak berpuas hati dengan jumlah itu, jadi kami masih berunding dengan mereka ... jika mereka memberi respons munasabah, kami mungkin tidak akan bertegas untuk mendapatkan AS$7.5 bilion," kata Dr Mahathir dalam artikel Financial Times tersebut.

Menurut artikel itu, Goldman Sachs membantu 1MDB (1Malaysia Development Berhad) untuk memperoleh bon bernilai AS$6.5 bilion, dan bank pelaburan antarabangsa itu didakwa memperoleh RM600 juta sebagai yuran daripada terbitan bon tersebut.

Laporan itu menyebut Malaysia menuntut pampasan sebanyak AS$7.5 bilion daripada Goldman Sachs berikutan kerugian yang dialaminya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS