Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK TG PIAI | Wee Jeck Seng menganggap dakwaan pemimpin DAP bahawa beliau adalah anggota parlimen yang 'pemalas' semasa dilantik mewakili Tanjung Piai sebelum ini sebagai fitnah.

Ketua MCA Tanjung Piai itu - ketika ditanya mengenai dakwaan tersebut - berkata Adun terbabit tidak wajar membuat tuduhan berkenaan.

"Bagaimana mereka boleh berkata begitu? Kamu pergi semak rekod-rekod parlimen," katanya yang ditemui selepas majlis ceramah dan kempen malam tadi.

Untuk rekod, Wee memenangi kerusi parlimen Tanjung Piai pada 2008 dan mempertahankannya pada 2013 sebelum kecundang kepada Allahyarham Md Farid Md Rafik pada PRU tahun lalu.

Sebelum ini Adun Senai, Alan Tee, berkata Wee sebenarnya lebih suka berdiam diri dan bukannya berkhidmat untuk masyarakat.

"Tahukah anda bahawa Wee Jeck Seng pernah menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan pada tahun 2008-09? Tidak pernah?

"Tidak mengapa, kerana memang beliau lebih gemar membisu daripada bekerja untuk rakyat," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tee juga memberitahu berdasarkan dokumen rasmi parlimen, sepanjang tempoh 10 tahun menjadi anggota parlimen Tanjung Piai, Wee hanya bersuara sebanyak 192 kali saja.

"Maknanya lebih kurang 19 kali saja bersuara dalam setahun!" katanya.

Wee berdepan lima calon lain dalam PRK Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 Nov ini.

Cabaran utama di kawasan majoriti Melayu itu dilihat datang daripada calon PH dari Bersatu, Karmaine Sardini. Empat lagi calon yang mencuba nasib ialah dari Gerakan, Berjasa dan dua wakil bebas.

Lihat Komen
ADS