Seorang ahli Pembangkang DAP Melaka mendesak supaya kerajaan negeri Melaka mengembalikan semula kerugian sebanyak RM270,000 melalui pembelian kereta rasmi untuk lima bekas exco mesyuarat kerajaan negeri Melaka.
"Mengapa kakitangan (kerajaan yang lain) tidak boleh menikmati peluang membeli kereta mewah Mercedes Benz E220(A) dengan diskaun harga RM48,000 sahaja?" soal Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Daun, Betty Chew dalam kenyataan medianya hari ini.
Sebelum ini Chew telah meminta penjelasan Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam dalam sidang Dewan Undangan Negeri Melaka pada 24 November lalu berhubung jualan kereta mewah itu kepada lima bekas anggota mesyuarat kerajaan negeri dengan diskaun 40 peratus.
Lima anggota exco yang dipercayai terlibat adalah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Abu Zahar Isnin, Datuk Noordin Yaani, Datuk Mohd Sharif Mohd Drus, Datuk Mohd Yasin Sharif dan Datuk Gan Boon Leong. [[#1] Melaka hilang RM270,000 kepada lima bekas exco[/#] , 6 Dis]
Bagaimanapun Ketua Menteri Melaka (KM) itu dilaporkan menjawab Chew menimbulkan isu tersebut kerana tidak berpeluang menikmati pembelian kereta mewah dengan harga rendah.
Mohd Ali menjelaskan kereta mewah itu diberikan diskaun adalah untuk menghargai jasa dan perkhidmatan lima exco mesyuarat negeri itu.
Bidas Chew pula, "Saya tidak tahu apa kesusahan ahli exco semasa menjalankan tugas yang melebihi kesusahan kakitangan kerajaan. Adakah elaun bulanan exco melebihi RM10,000 iaitu tiga kali ganda daripada gaji pegawai kerajaan tidak mencukupi untuk membalas apa-apa kesusahan ahli exco bila menjalankan tugas?"
