Segelintir pemimpin dan pengikut PAS di Terengganu didakwa yang memboikot mengerjakan solat lima waktu serta Jumaat di masjid kerajaan disebabkan perbezaan pendapat dengan jawatankuasa masjid berkenaan

Ketika membuat dakwaan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Islam Hadhari dan Kebajikan Negeri, Datuk Rosol Wahid berkata, perbuatan itu telah dapat dikesan oleh kerajaan negeri.

Katanya, tindakan mereka itu menyebabkan usaha kerajaan untuk memakmurkan masjid terbantut dan boleh menimbulkan perpecahan di kalangan rakyat.

Sebagai contoh, katanya bancian yang dibuat di Bukit Bading, Ajil, Hulu Terengganu mendapati lebih 30 ahli dan pemimpin PAS akan keluar daripada mukim mereka untuk pergi menunaikan solat Jumaat di tempat yang diimami oleh golongan mereka.

"Dalam usaha kita hendak memakmurkan masjid-masjid ini, kita mendapat halangan dan kekangan daripada pemimpin dan pengikut PAS yang tidak dapat menerima hakikat mereka berada dalam mukhalaf (kawasan).

"Maka, apabila tiba waktu solat lima waktu atau solat Jumaat, mereka (pemimpin dan pengikut Pas) akan berduyun-duyun pergi ke tempat orang mereka menjadi imam," katanya menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang) pada hari hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN) hari ini.

Sembahyang di markas PAS

Menurut laporan Bernama, Rosol hairan kerana sewaktu PAS memerintah Terengganu, mereka menunaikan solat di masjid tersebut tetapi apabila parti itu menjadi pembangkang, mereka tidak berbuat demikian.

"Keadaan ini amat mengecewakan. Mereka sanggup jadikan markas-markas (PAS) sebagai tempat untuk mengerjakan solat Jumaat sedangkan jarak antara satu masjid ke masjid lain tidak jauh," katanya.

Sehubungan itu, Rosol meminta pemimpin PAS memperbetulkan keadaan supaya masalah perpecahan itu tidak berlaku lagi di negeri ini.

"Jadi, saya minta kesungguhan dan keikhlasan daripada pemimpin-pemimpin PAS untuk perbetulkan keadaan ini supaya perpecahan dan perbalahan tidak berlanjutan di Terengganu," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Wan Abdul Muttalib Embong (PAS-Batu Burok), Rosol berkata sehingga Mac tahun ini, 20 imam masjid mukim ditamatkan perkhidmatan kerana tidak mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Dalam tempoh itu juga, katanya, enam bilal masjid turut ditamatkan perkhidmatan mereka kerana kesalahan yang sama manakala seorang imam masjid ditahan elaunnya.