Pihak Istana Negeri Selangor sehingga kini masih belum menerima sebarang permohonan maaf daripada pihak pengurusan All Asia Broadcast Centre (Astro) dan Airtime Management Programme (AMP) Radio Network berhubung kesilapan menyiarkan hebahan "kemangkatan" Yang di-Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

"Pihak kami setakat ini belum terima apa-apa lagi," kata setiausaha sulit Seri Paduka Baginda, Datuk Mohd Munir Bani ketika dihubungi malaysiakini , petang tadi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hari ini dilaporkan oleh akhbar New Straits Times sebagai berkata kerajaan negeri itu telah menghantar surat melahirkan rasa tidak puashati terhadap apa yang berlaku kepada Kementerian Penerangan.

"Kita meminta Radio Era memohon maaf kepada Baginda Pemangku Sultan Selangor, Tengku Idris Shah kerana baginda amat tersinggung dengan kesilapan yang telah disiarkan," kata beliau hari ini.

Semalam, pengurusan Astro dan AMP Radio Network telah bertemu dengan pihak Istana Negara bagi memohon maaf berhubung kesilapan yang berlaku.

Gagal dihubungi

Selasa lalu, kira-kira jam 8.45 malam, stesen radio swasta berbahasa Melayu itu telah menyiarkan berita yang mendakwa Seri Paduka Baginda telah mangkat. Pengumuman itu kemudian diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Selepas menyedari kesilapan itu, stesen radio popular itu menarik semula pengumuman tersebut serta memohon maaf kepada para pendengarnya.

Pengumuman itu telah menyebabkan orang ramai gempar dan pejabat akhbar-akhbar utama menerima banyak panggilan telefon untuk mengesahkan pengumuman itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif AMP Radio Network, Borhanuddin Osman gagal dihubungi untuk mengulas lanjut mengenai perkara ini.

Pihak pengurusan radio itu dua hari lalu, menjelaskan juruhebahnya tersilap menekan butang hingga rakaman pengumuman "kemangkatan" Seri Paduka Baginda itu disiarkan ke udara..

Menurut pihak pengurusan radio itu, rakaman tersebut merupakan rakaman latihan yang hanya akan disiarkan sekiranya peristiwa itu benar-benar berlaku.