Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Eksekutif Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini berkongsi pandangan berkenaan cadangan penswastaan Plus Malaysia Bhd (Plus).

Dalam program Youth Economic Forum di Kuala Lumpur hari ini, seorang hadirin bertanya sama ada dua pemilik Plus itu setuju membenarkan pihak swasta mengendalikan lebuh raya Plus jika ia membawa kepada tol yang lebih rendah tetapi tempoh konsesi yang lebih lama.

Khazanah memiliki 51 peratus pegangan dalam Plus, manakala KWSP 49 peratus.

Pengarah Urusan Khazanah Shahril Ridza Ridzuan (gambar) tidak menjawabnya secara terus tetapi menyatakan tiga pertimbangan dasar ketika memutuskan soal pemegang konsesi terbesar negara tersebut.

"Adakah lebih ia dimiliki bagi pihak rakyat atau lebih baik dimiliki entiti swasta yang bermotifkan keuntungan dan maka akan cuba mendapat sebanyak mungkin keuntungan daripadanya?

"Kedua, sentiasa ada persoalan sama ada anda mahu pengurangan kadar tol jangka pendek berbanding tempoh konsesi yang lebih lama?...Apa saja jenis pengurangan tol pada asasnya memerlukan lanjutan tol yang lebih panjang. Adakah anda mahu abaikan masa depan demi (keuntungan) jangka pendek?

"Dan persoalan ketiga, demi menjayakannya, anda perlu jaminan kerajaan agar entiti swasta mendapat manfaat...Tiga perkara ini perlu diambil kira apabila anda memikirkan tentang penstrukturan semula tol di Malaysia," kata Shahril.

Swasta mampu jamin keselamatan lebuh raya?

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias (gambar) berkata apa-apa keputusan untuk menswastakan pemegang konsesi memerlukan persetujuan KWSP, sambil menegaskan badan itu memiliki kerjasama yang baik dengan Khazanah.

Beliau mempersoalkan sama ada sebuah entiti swasta mampu mengekalkan standard mutu dan keselamatan lebuh raya Plus seperti sekarang.

"Ia perlu masuk akal melalui pulangan kewangan. Jadi kita perlu lihat (sama ada) aseti ini adalah aset yang bagus untuk kita dan jika kita ingin melepaskannya, adakah lebih munasabah untuk kita jualnya sekarang jadi saya boleh beri dividen...atau perlu tunggu untuk memastikan saya ada pulangan yang mapan?

"...Pulangan dan manfaat bukan sentiasanya berkenaan kewangan. Bagaimana dengan manfaat sosial yang diberikan (aset) yang amat penting ini kepada ahli kita? Dalam soal keselamatan, kemudahan dan juga penyelesaian pergerakan.

"Kerana ia mengedalikan 1,200km (lebuh raya) di seluruh semenanjung Malaysia. adakah kita boleh lepaskannya tanpa mengetahui sama ada mutu tahap tinggi yang dinikmati anda dapat dikekalkan?

"...Jika dijual kepada pihak lain, KWSP mesti selesa dengan pihak itu dan KWSP perlu diyakinkan bahawa penjajaran ini perlu juga sejajar dengan ahli kita.

"Pada tahap ini, Khazanah dan KWSP - kami sejajar kerana kami berkhidmat kepada rakyat Malaysia," kata Alizakri disambut tepukan hadirin.

Kerajaan sedang meneliti cadangan pengambilalihan pegangan Khazanah dalam Plus walaupun syarikat pelaburan negara itu dilihat kurang berminat dengan perkara itu.

Empat cadangan yang diketahui setakat ini antaranya daripada konglomerat pembinaan Widad Business Group Sdn Bhd, yang menawarkan untuk membeli kepentingan ekuiti pada nilai RM5.3 bilion, selain pengecualian pampasan sebanyak RM3.04 bilion dan andaian hutang sebanyak RM30 bilion.

Ahli perniagaan Halim Saad pula menawarkan untuk membeli kepentingan ekuiti Plus pada harga RM5.2 bilion, manakala RRJ Capital menawarkan tunai RM3.5 bilion.

Pemilik Maju Expressway, Maju Holdings Sdn Bhd menawarkan untuk membeli Plus pada nilai perusahaan RM34.9 bilion.

Minggu lalu, timbul spekulasi bahawa Kementerian Kewangan berminat untuk mengambil alih pegangan Khazanah dalam Plus untuk mengelakkan ia dijual kepada syarikat swasta.

Shahril dan Azril menjadi panelis dalam forum bertajuk “The Corporate Agenda” bersama-sama CEO Permodalan Nasional Berhad Jalil Rasheed. Sesi itu dimudahcara oleh Pengarah Urusan Ernst and Young Malaysia Abdul Raus Rashid. 

Lihat Komen
ADS