Mat Sabu: PH Formula terbaik untuk Sarawak
Gabungan empat parti politik yang bernaung di bawah PH merupakan formula terbaik untuk memerintah Sarawak selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berkata hal itu kerana PH - yang terdiri daripada PKR, DAP, Bersatu dan Amanah - dianggotai rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Menurutnya, rakyat Sarawak semakin yakin dengan PH selepas kejayaan mengambil alih pucuk pimpinan negara selepas pilihan raya umum lalu.
“Bagi Sarawak, PH merupakan formula terbaik kerana mewakili semua suku kaum," katanya semasa berucap pada majlis makan malam Memenuhi Harapan, Mendukung Aspirasi di Sibu malam tadi.
Mohamad berkata, Amanah yang merupakan antara parti komponen PH mendapat sambutan menggalakan daripada pengundidi Sarawak pada PRN yang lalu.
“Ujian pertama Amanah - walapun baru tak sampai setahun ditubuhkan - ialah bertanding di 13 kerusi (DUN) terutama di kawasan pedalaman kerana kita tidak mahu BN menang percuma.
"Beberapa DUN kita tidak hilang wang pertaruhan dan pilihan raya parlimen pula undi kita perolehi amat memberangsangkan.
“Pada pilihan raya itu pula undi kita perolehi amat memberansangkan dan pilihan raya tahun depan insya-Allah Amanah dan PH akan ambil alih pentadbiran Sarawak," tegasnya.
Sementara itu pada sidang media kemudiannya, Mohamad berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi dan manifesto khas untuk Sarawak akan dibuat bila-bila masa jika ada permintaan daripada Pengerusi PH Sarawak.
Menurutnya, perbincangan berhubung pengagihan kerusi antara empat komponen PH dan manifesto khas tersebut boleh disiapkan kurangnya awal tahun depan.
Terdahulu, Pengerusi Amanah Sarawak, Abang Abdul Khalil Abang Naili, dalam ucapannya alu-aluannya berkata, untuk memastikan Sarawak maju, polisi kerajaan Sarawak mestilah sama dengan kerajaan persekutuan.
“Kalau tidak rakyat Sarawak akan menderita. Kerajaan Persekutuan sedaya-upaya membantu rakyat Sarawak," katanya.
- Bernama

