Pesuruhjaya Suhakam Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan akan menemui Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Hazam Abdul Halim Jumaat ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung aduan seorang wartawan bahawa tiga anggota polis dari daerah berkenaanm, bertindak secara tidak profesional terhadapnya.

Semalam, wartawan dari akhbar Oriental Daily , Lim Kean Eng, 31, telah mengemukakan aduannya itu kepada Suhakam.

Lim mendakwa sedang memandu kereta dengan membawa isterinya yang sarat mengandung lapan bulan menuju ke Jalan Barat, Petaling Jaya selepas mengeluarkan wang dari sebuah bank berhampiran pada 9 April lalu, apabila beliau ditahan oleh tiga anggota polis berpakaian seragam.

"Seorang daripadanya memberitahu, saya telah melakukan kesalahan lalulintas kerana tidak berhenti di persimpangan lampu isyarat. Walaupun saya menafikan dakwaannya itu tetapi mereka berkeras mengatakan mereka mempunyai tiga orang saksi dan mengarahkan saya supaya menunjukkan kad pengenalan dan lesen memandu saya," kata Lim.

Bagaimanapun, apabila seorang daripada mereka ternampak pelekat kereta media pada cermin depan keretanya, anggota polis itu menyerahkan semula kad pengenalannya, mengucapkan terima kasih kepadanya dan beredar dari situ tanpa bertanya lanjut, kata Lim.

Cari 'kambing hitam'

"Kenapa mereka menahan saya kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan saya tidak tahu sama ada mereka telah mengekori saya dari bank lagi. Semasa kejadian itu terdapat beberapa kereta yang diletak secara melanggar peraturan," tambahnya.

Menurut laporan Bernama, Lim bagaimanapun sempat mencatatkan nombor plat sebuah daripada motosikal yang digunakan oleh anggota polis berkenaan.

"Saya tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku sekiranya saya bukan seorang wartawan. Siapa yang memberi kuasa kepada mereka untuk berbuat demikian sedangkan mereka bukan anggota trafik (berdasarkan pakaian seragam mereka) ... dan isteri saya mengalami gangguan fikiran sejak kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Hamdana berkata pihaknya akan merujuk perkara ini kepada pihak polis dan akan cuba mengesan 'kambing hitam' dalam kes ini.

"Jika perbuatan itu benar-benar dilakukan oleh anggota polis berkenaan, maka kita perlu mengambil tindakanyang serius kerana perbuatan mereka itu adalah menyalahgunakan kuasa," katanya kepada wartawan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi Suhakam Tan Sri Simon Sipaun dan pesuruhjaya Suhakam Datuk N. Siva Subramaniam.