Khabar angin bertiup kencang bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan pad 22 April ini dan pilihanraya negeri akan diadakan pada minggu pertama atau kedua Mei ini.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud bagaimanapun masih enggan bercakap mengenainya.

"Kita tengok. Saya belum jumpa Gabenor (Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng) lagi," katanya kepada pemberita bila ditanya mengenai pilihan raya itu selepas merasmikan kampus tetap Universiti Malaysia Sarawak semalam.

Selasa lalu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri George Chan berkata DUN Sarawak akan mengadakan persidangan khas pada 20 April ini bagi meluluskan usul mengenai Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9).

Menurut laporan Bernama, beliau turut membayangkan ini mungkin persidangan terakhir sebelum pilihanraya negeri akan datang.

"Anda boleh lihat jika ini betul atau tidak," kata Taib, sambil menambah kata, senarai calon BN (Barisan Nasional) bagi pilihanraya itu sedang diperhalusi. Lebih banyak muka baru termasuk wanita dijangka diletakkan dalam pilihan raya tersebut.

Taib, yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata: "Kami akan dapatkan kelulusan parti-parti komponen BN".

Kerusi tambahan

Parti-parti komponen BN negeri ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Langkah penandaan semula sempadan telah menambah bilangan kawasan pilihan raya negeri sebanyak sembilan kepada 71 untuk pilihanraya akan datang.

Kerusi itu dijangka dikongsi oleh parti-parti komponen BN negeri seperti berikut: PBB 35, SUPP 19, PRS sembilan dan SPDP lapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika melawat Sarawak, yakin BN negeri itu akan memenangi pilihanraya tersebut.

Abdullah, yang juga Menteri Keselamatan Negeri, turut ditanya mengenai status parti Malaysian Dayak Congress (MDC), yang sedang memohon untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Kami belum buat keputusan muktamad (mengenai permohonan MDC)," kata beliau.

MDC, yang mengemukakan permohonannya kepada ROS Mei tahun lepas, berkata ia akan menyertai gabungan pembangkang bumiputera yang termasuk Parti Kebangsaan Sarawak (Snap), Parti Reform Negeri (Star) and Parti Keadilan Rakyat (PKR).