Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Najib tak jejas sokongan BN di Tg Piai - Zahid

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata perintah mahkamah agar bekas perdana menteri Najib Razak membela diri dalam kes SRC International Sdn Bhd akan menjejaskan kempen mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

"Kes seseorang itu tidak ada kena mengena dalam mana-mana PRK dan kami cukup rasional bahawa semangat dan tahap sokongan pengundi-pengundi itu tidak terpengaruh dengan isu-isu di mahkamah kerana mereka rata-rata mengetahui bahawa perbicaraan itu dibuat mengikut proses undang-undang," kata Zahid kepada pemberita di parlimen hari ini.

Beliau berkata Najib telah mengunjungi Tanjung Piai untuk berkempen malam tadi dan bekas presiden Umno itu menerima sambutan luar biasa.

"Sesiapa sahaja ingin membantu (calon BN) kita akan bagi ruang yang secukupnya, bukan hanya bagi memperjelaskan isu-isu yang ada tetapi untuk melihat bahawa sokongan harus diberikan kepada mana-mana calon BN," katanya.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri juga menyuarakan perkara serupa.

Menurutnya, kes Najib tidak akan mempengaruhi PRK kerana pengundi di Tanjung Piai kebanyakannya nelayan dan pekebun kecil yang lebih prihatin terhadap kos hidup.

Awal hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Najib membela dirinya daripada kesemua tujuh pertuduhan berhubung SRC International.

Zahid dan Ismail Sabri juga berkata mereka tidak akan menjauhkan diri daripada Najib selepas keputusan mahkamah pagi ini.

"Sama ada seseorang sedang disiasat atau menjalani perbicaraan atau diminta membela diri, pendirian Umno dan BN akan tetap sama.

"Kami tidak akan menjauhkan diri daripada sesiapa pun," kata Zahid.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kes Najib adalah isu peribadi dan Umno tidak perlu menjauhkan diri.

"Dan Najib berkata beliau tidak akan melibatkan Umno dalam kesnya.

"Dia akan meneruskan kes di mahkamah dan pemimpin lain juga terlibat dalam kes mahkamah.

"Itu adalah isu yang melibatkan diri mereka, bukan parti dan sebagainya.

"Tetapi sebagai bekas presiden parti, kita akan terus memberi sokongan moral kepada Najib dalam menghadapi kes ini," katanya.

Lihat Komen
ADS