Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), telah memberi kuasa semula kepada Sarawak untuk menguruskan alam sekitar di negeri ini.

Beliau berkata setelah kerajaan Persekutuan menurunkan kembali kuasa menguruskan alam sekitar kepada Sarawak, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini telah berjaya meminda Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar (Pindaan) 2019 selepas mendapat persetujuan sebulat suara ahli Dewan, pada 4 Nov lepas.

“Dengan pindaan itu, semua pegawai Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) mempunyai kuasa untuk melaksana apa jua tindakan dan menguruskan alam sekitar melalui perspektif Sarawak,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat negeri di Kuching hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Norlin Jaafar.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata Sarawak akan cuba menguruskan alam sekitar secara holistik dan juga menggunakan teknologi terkini dalam mentadbir dan memberikan keadaan alam sekitar yang baik demi rakyat negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika membentangkan RUU itu berkata RUU itu bertujuan memperluas undang-undang pembakaran terbuka khasnya melibatkan peladangan komersial, bagi memudahkan pematuhan lebih baik terhadap keperluan dan amalan semasa alam sekitar.

Di bawah RUU itu, hukuman bagi kesalahan pembakaran terbuka dinaikkan dari RM20,000 atau/dan penjara tiga tahun kepada RM100,000 atau/dan penjara lima tahun.

Manakala bagi kesalahan seterusnya, pesalah akan dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 sehari.

Sebagai tambahan, denda RM100,000 atau/dan penjara lima tahun dikenakan bagi kesalahan pembakaran terbuka atau memusnahkan tumbuh-tumbuhan tanpa kebenaran bertulis daripada kontroler NREB.

- Bernama