Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lynas nafi terbabit 'tongkang bawa bauksit karam'
Diterbitkan:  Nov 11, 2019 4:43 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Lynas Malaysia Sdn Bhd hari ini menafikan terbabit kejadian dalam satu video tular memaparkan sebuah tongkang yang dikatakan membawa bauksit karam di lautan.

Dalam suatu kenyataan hari ini, Lynas menyatakan pihak berkuasa sejak itu sudahpun mengesahkan kejadian tersebut tidak berlaku di perairan Kuantan dan mineral yang terkandung dalam tongkang itu adalah bijih nikel dan bukannya bauksit.

Syarikat pengasingan nadir bumi yang berasal dari Australia itu juga menegaskan mereka tidak melakukan kegiatan melombong bauksit mahupun bijih nikel.

"Bauksit dan bijih nikel adalah bukan nadir bumi dan Lynas tidak melombong mana-mana bahan itu di Malaysia. Semua bahan adalah diimport dan dieksport daripada tapak pemprosesan Lynas dalam kontena," kata Lynas.

Syarikat itu juga mengutuk apa yang dipanggil 'pola sebaran maklumat palsu' (pattern of disinformation) yang didakwa digunakan oleh aktivis anti-Lynas.

Ketua pegawai operasi Pelabuhan Kuantan Mazlim Husin dan Adun Beserah Andansura Rabu pada Sabtu lalu juga dilaporkan menafikan kejadian tongkang karam dalam video viral itu berlaku di perairan berhampiran Pelabuhan Kuantan.

Video tular itu memaparkan sebuah tongkang besar yang mengandungi tanah berwarna merah pecah kepada dua bahagian sebelum karam di lautan.

Mazlim mendakwa video tersebut telah dirakam di negara asing.

Sabtu lalu, New Straits Times melaporkan insiden tersebut berlaku di perairan Sulawesi, namun tarikh kejadian masih tidak dipastikan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS