Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengerang di Johor diangkat jadi majlis perbandaran

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin hari ini mengumumkan Pengerang di Kota Tinggi, Johor diangkat menjadi sebuah majlis perbandaran.

Jelasnya, ini kerana Pengerang telah mencapai kriteria bagi sesebuah pekan untuk menjadi majlis perbandaran.

“Untuk layak jadi majlis perbandaran kena ada 150 ribu penduduk dan mereka (Pengerang) sudah capai 150 ribu penduduk dengan pendapatan sekurang-kurangnya RM20 juta.

“[…]Pengerang dah capai (pendapatan) RM32 juta melebihi syarat-syarat yang ditentukan untuk jadi perbandaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat tertutup perjumpaan bersama penghulu dan ketua kampung daerah Pontian di sebuah hotel di Pontian pada hari ini.

Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal turut hadir mesyuarat tertutup yang berlangsung lebih 40 minit itu.

Sementara itu, Zuraida juga menjelaskan bahawa Pengerang turut akan dinaik taraf menjadi sebuah bandar pintar (Smart City).

Tambahnya, Pengerang juga akan diperkenalkan dengan beberapa teknologi canggih yang bersesuaian termasuk di kawasan kampung.

“Saya juga nak ingatkan ketua kampung bahawa konsep bandar pintar ini bukan tertakluk kepada kawasan majlis perbandaran sahaja tetapi ia juga boleh dilaksanakan di peringkat kampung.

“Ini antara perkara yang saya kongsi dengan ketua-ketua kampung dan nak pastikan kemajuan kampung juga,” katanya.

Pengerang adalah mukim di daerah Kota Tinggi di timur Johor.

Sementara itu, Hazlina Jalil yang dilantik menjadi yang di pertua (YDP) Majlis Perbandaran Pangerang turut meluahkan rasa syukur dan berkata pengumuman ini telah menjadi hasrat penduduk di kawasan tersebut sejak sekian lama.

Katanya lagi, selepas pengumuman tersebut, beberapa proses akan dilakukan setelah membuat perbincangan lebih teliti dengan kerajaan.

Lihat Komen
ADS