Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kempen Sayangi Sawitku untuk kesedaran, kata menteri

Dalam siri ceramah BN, seperti kebanyakan ceramah politik, beberapa slogan atau jenaka akan diulang berkali-kali.

Tidak terkecuali, sindiran terhadap Menteri Industri Utama Teresa Kok yang sebelum ini mengajak rakyat Malaysia Mengambil manfaat daripada khasiat meminum minyak sawit.

Pada suatu program dialog dengan peladang sawit di Pekan Nanas hari ini, individu bernama Abdullah Ahmad Wahab mencadangkan Kok dan menteri lain minum sebotol minyak sawit, tiga kali sehari. Cadangan itu disambut tepukan gemuruh 250 hadirin.

Mengulas cadangan itu, Kok menegaskan bahawa minyak sawit Malaysia mempunyai banyak khasiat kesihatan.

"Ramai orang tidak tahu minyak sawit kita memberikan banyak khasiat," katanya dengan menambah bahawa minyak sawit kaya dengan vitamin E, beta-carotene dan khasiat lain.

Kok juga menjelaskan bahawa seruan untuk minum minyak sawit dimulakan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang memberitahu China bahawa sekiranya semua orang di negara berkenaan minum sesudu minyak sawit sehari, Malaysia akan kehabisan minyak sawit.

Dalam sidang media selepas itu, Kok mengulas lanjut bahawa kempen Sayangi Sawitku bertujuan untuk memberi kesedaran dan bukannya meningkatkan permintaan pasaran tempatan.

"Ia (kempen itu) untuk pengetahuan dan kesedaran," katanya dan menegaskan keperluan memberi penjelasan terhadap persepsi negatif kelapa sawit.

Isu melibatkan minyak sawit pekebun kecil merupakan antara yang menjadi tumpuan dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, dengan harga pasaran merupakan perbahasan utama.

Kok berkata harga minyak sawit sedang meningkat dan akan memberi manfaat kepada pekebun kecil.

Bagaimanapun, Kok mengakui kemungkinan wujudnya orang tengah yang memanipulasi keuntungan.

Justeru, katanya, pekebun kecil perlu mewujudkan koperasi dengan bantuan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

"Potong orang tengah untuk tingkatkan pendapatan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS