Akta Halal mesti telus
Akta Halal perlu telus untuk melindungi pengguna Islam dan bukannya untuk memenuhi kehendak pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan dari industri tersebut, kata Pengerusi Majlis Shura Ulama Asia Tenggara, Abdul Ghani Samsuddin.
Akta Halal perlu telus untuk melindungi pengguna Islam dan bukannya untuk memenuhi kehendak pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan dari industri tersebut, kata Pengerusi Majlis Shura Ulama Asia Tenggara, Abdul Ghani Samsuddin.
Menurutnya, aspek ketelusan itu amat penting dan perlu diutamakan kerana ada pihak tertentu yang berpengaruh mula menceburi industri halal dan mengeluarkan produk secara besar-besaran.
Katanya, umat Islam bimbang pihak yang berpengaruh itu menggunakan kuasanya untuk melindungi kepentingan mereka tanpa mengambilkira hukum halal haram.
"Kita bimbang dengan menggunakan pengaruh mereka boleh mengubah benda yang haram menjadi halal," katanya sebagai mengulas gesaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) supaya kerajaan segera menggubal Akta Halal bagi membolehkan pihak yang menggunakan tanda halal dengan sewenang-wenangnya diheret ke mahkamah.
Penyelaras Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Noor Din berkata, ketiadaan akta itu menyebabkan pengeluar makanan tidak halal tidak takut untuk menipu dengan menggunakan seweang-wenang logo halal.
Katanya, PPIM sudah lama mencadangkan kewujudan akta tersebut, kira-kira enam tahun lalu, tetapi sampai sekarang tidak ada tindakan diambil.
Ambil kesempatan
Menurut Abdul Ghani lagi, umat Islam tidak boleh memandang mudah perkara ini kerana ia akan menggalakkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap perkara itu.
Katanya, pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengenai perkara ini perlu mengambil langkah sesuai bagi memastikan tidak ada pihak menyalahgunakan tanda dan logo halal.
Menurutnya, badan Islam bukan kerajaan (NGO) perlu bergerak lebih aktif dan memainkan peranan utama dalam industri itu supaya tidak dikuasai oleh bukan Islam.
Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, pihak berkuasa perlu memperketatkan pengeluaran sijil halal dan hanya meluluskannya kepada mereka yang benar-benar memahaminya.
Katanya, ini kerana ada pengeluar produk makanan bukan Islam yang memohon sijil halal tetapi mereka tidak faham mengenai perkara itu.
"Mereka perlu diberi penerangan yang lengkap mengenai perkara itu sehingga mereka faham sebelum mendapat sijil halal," katanya.
Proses yang ketat
Bagaimanapun, katanya, bukan pengeluar bukan Islam sahaja yang tidak peka mengenai sijil halal, malah orang Islam pun mengambil sikap sambil lewa.
Pengerusi Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin berkata, prosedur pengeluaran sijil halal perlu dipermudahkan bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada proses pengeluaran yang ketat.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak boleh diswastakan bagi mengelak pihak tertentu menyalahgunakan pengeluaran sijil halal.
"Penguatkuasaan juga perlu bersepadu dan tindakan tegas perlu dikenakan ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan pengeluaran dan penggunaan sijil halal," katanya.
Namun, kata beliau, bukan semua produk yang digunakan oleh umat Islam memerlukan sijil halal kerana barangan seperti ikan, sayuran dan daging ternakan tidak memerlukan tanda halal.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.