Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Karmaine yakin kehadiran Dr M esok akan tarik sokongan pengundi

PRK TG PIAI | Calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini melihat kehadiran Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad untuk membantu kempen beliau esok akan menjadi faktor untuk menarik sokongan pengundi.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan kepada fakta bahawa perdana menteri adalah seorang negarawan yang dikenali ramai, bukan sahaja dalam negara malahan luar negara.

“Sebagai calon, ya... kita memang harapkan ia memberikan impak kepada pengundi itu sendiri bagi memaklumkan kepada orang ramai tentang beberapa isu, antaranya beliau kini bersama dengan PH dan bukan lagi di bawah BN.

“Dalam masa sama pengundi juga sewajarnya memberi sokongan kepada PH kerana Mahathir merupakan pemimpin PH dan perdana menteri ketika kini dan kita lihat usaha serius telah pun dibuat untuk memulihkan keadaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat pusat pengundian awal di Bangunan Perkep Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini.

Pada sidang selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Putrajaya semalam, Dr Mahathir berkata masih ada penduduk Tanjung Piai yang menganggapnya masih Presiden Umno.

Sehubungan itu, beliau akan turun berkempen di Tanjung Piai esok dan harap pada masa itu penduduk Tanjung Piai tidak lagi mempunyai anggapan sedemikian.

Pengundian awal hari ini yang melibatkan anggota dan pegawai polis bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang ini.

Sebanyak dua saluran iaitu bagi kawasan DUN Kukup dan Pekan Nanas telah dibuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membolehkan mereka mengundi.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Ia menyaksikan Karmaine menerima tentangan daripada calon BN Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

-Bernama

Lihat Komen
ADS