GLOBAL l Peletakan jawatan Presiden Bolivia Evo Morales harus menjadi amaran kepada pemimpin serantau lain yang tidak sependapat dengan Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Presiden Donald Trump pada Isnin.

"Kesemua peristiwa ini memberi isyarat yang begitu jelas kepada rejim-rejim tidak sah di Venezuela dan Nicaragua bahawa demokrasi serta kehendak rakyat akan sentiasa menang," kata Trump dalam kenyataan yang turut menyifatkan pengunduran Morales sebagai langkah ke arah "Hemisfera Barat yang demokratik, makmur dan bebas sepenuhnya."

"Pengunduran Morales memelihara demokrasi dan membuka laluan kepada rakyat Bolivia bagi membolehkan suara mereka didengari. Amerika Syarikat memuji rakyat Bolivia kerana menuntut kebebasan dan tentera Bolivia kerana mematuhi sumpahnya untuk melindungi bukan hanya seorang, sebaliknya perlembagaan Bolivia," katanya.

Dalam pilihan raya presiden pada 20 Okt, Morales yang merupakan presiden orang asli pertama Bolivian, meraih 47.8 peratus undi dan memperoleh kemenangan pada pusingan pertama pengundian.

Bagaimanapun, apabila pembangkang mendakwa berlaku penipuan, beberapa parti telah menggesa penyokong masing-masing agar turun ke jalanan.

Selepas pembangkang menggesa agar pengundian itu dibatalkan, Morales mengumumkan bahawa akan terdapat pilihan raya baharu namun penyokong pembangkang berkata mereka akan terus melakukan tunjuk perasaan sehingga satu pilihan raya diadakan tanpa penglibatan beliau.

Pada Ahad, dalam ucapan yang disiarkan melalui televisyen, Panglima Tentera Bolivia Williams Kaliman meminta Morales mengundurkan diri.

Morales berkata satu "rampasan kuasa" telah dilakukan terhadapnya dan beliau meletak jawatan bagi mengelak pemimpin pembangkang Luis Fernando Camacho dan Carlos Mesa, bekas presiden, mengeluarkan arahan lanjut agar penyokong mereka menyerang rakyat Bolivia.

Morales telah menjadi presiden sejak 2006.

- Bernama