Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
China jadikan Kemboja koloni, dakwa pemimpin dalam buangan

WAWANCARA | Kerajaan Kemboja di bawah Perdana Menteri Hun Sen telah membenarkan China menjadikan negara itu menjadi koloninya dengan mengorbankan rakyat miskin, dakwa Sam Rainsy.

Pemimpin pembangkang yang hidup dalam buangan itu kini berada di Malaysia.

Menurut Rainsy, China menghantar ribuan rakyatnya untuk menetap di Kemboja dan ramai yang menduduki tanah milik petani.

"China menjadikan Kemboja sebagai koloni China. Mereka menghantar warga bukan pelancong. Orang-orang ini tidak kaya dan datang daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Mereka bukan pelabur atau ahli perniagaan. Mereka hanya orang biasa, seperti petani.

"Ini sangat berbahaya kerana China boleh menghantar berjuta-juta rakyatnya ke Kemboja. Kami akan lemas di kalangan ramai pendatang asing," kata Rainsy kepada Malaysiakini semasa wawancara di Putrajaya semalam.

Rainsy, yang merupakan pemimpin pembangkang Cambodian National Rescue Party (CNRP), berkata kerajaan Hun Sen telah merampas tanah daripada petani dan menyerahkannya kepada orang Cina.

"Sungguh teruk bagi mereka (petani) kerana sumber rezeki mereka hanyalah tanah mereka," katanya.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, kiri melambai kepada hadirin dalam perarakan nasional.

Walau bagaimanapun, Rainsy tidak menyalahkan China. Sebaliknya, beliau menyalahkan Hun Sen kerana membenarkan China menjadi sumber tunggal pelaburan negara itu, sehingga menjadikan Kemboja terlalu bergantung pada China.

"Kami tidak menyalahkan China dan menyalahkan kepimpinan kami kerana mereka membenarkan China melakukan hal itu, jika kami mempunyai kepimpinan kuat dengan integriti, tidak ada negara asing boleh berbuat demikian di Kemboja," katanya.

Rainsy turut maklum kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa lawatannya ke Kemboja pada September lalu.

"Dr Mahathir berkata jangan bergantung kepada satu negara semata-mata untuk mengekalkan kemerdekaan anda. Anda perlu memastikan bahawa pelaburan langsung asing datang dari pelbagai sumber, bukan dari satu sahaja," katanya.

Pada Mac tahun ini, Dr Mahathir memberi amaran kepada Filipina supaya berhati-hati dengan "perangkap hutang" dan menasihatkan negara itu untuk "mengawal atau menghadkan pengaruh dari China".

Dua bulan kemudian, Hun Sen menolak kebimbangan bahawa negaranya berisiko jatuh ke dalam "perangkap hutang" China dan menegaskan sokongan kewangan besar-besaran dari Beijing tidak menjejaskan kemerdekaan negaranya.

China merupakan pelabur langsung asing terbesar Kemboja dalam tempoh lima tahun yang lalu, menyuntik sejumlah AS$5.3 bilion ke negara miskin itu. Republik itu juga merupakan rakan dagang terbesar Kemboja, diikuti oleh Kesatuan Eropah (EU).

Rainsy berkata negara yang korup dan diperintah oleh diktator kemungkinan akan dikuasai oleh China.

"Di negara demokrasi, ini tidak akan berlaku," katanya.

Rainsy tiba di Kuala Lumpur pada 9 November lalu. Awalnya, beliau merancang menaiki penerbangan Thai Airways dari Paris ke Bangkok sebelum memasuki Kemboja melalui sempadan.

Bagaimanapun, rancangannya itu tergendala selepas dia didakwa dihalang daripada menempah penerbangan ke Bangkok.

Ditanya mengenai langkahnya yang akan datang, Rainsy berkata beliau merancang untuk terbang ke Jakarta pada Rabu sementara mendapatkan Kesatuan Eropah untuk meningkatkan tekanan terhadap Phnom Penh supaya memulihkan demokrasi dan melepaskan tahanan politik.

[Baca berita penuh]


BACA BERKAITAN:

Bahagian 1: Pemimpin pembangkang Kemboja: M'sia teladan perubahan demokratik

Lihat Komen
ADS