Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bangkit kes forex, Guan Eng - Bukan kali pertama Dr M terkejut, kata Najib
Diterbitkan:  Nov 12, 2019 4:21 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Ini bukanlah kali pertama Dr Mahathir Mohamad menyuarakan rasa terkejutnya, kata Najib Razak susulan kenyataan perdana menteri berkenaan pertuduhan berkaitan salah guna dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Najib mengulas kenyataan Mahathir yang berkata beliau terkejut apabila mendapati bekas perdana menteri itu terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang tidak membebaskannya, sebalik mengarahkannya untuk membela diri.

"Sebenarnya perdana menteri ketujuh juga terkejut tahun apabila SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mengeluarkan kenyataan bahawa mereka amat terkejut apabila kes rasuah Lim Guan Eng ditarik balik," katanya di Facebook.

Ketika itu Mahathir berkata SPRM ada hak untuk menyuarakan rasa terkejutnya dengan perkembangan itu.

"Mereka berhak terkejut, saya pun terkejut juga," kata Mahathir.

Lim yang merupakan bekas ketua menteri Pulau Pinang, dan ahli perniagaan Phang Li Koon dibebaskan daripada tuduhan rasuah berhubung dakwaan pengubahan status tanah dan pembelian banglo di bawah harga pasaran.

Najib turut mengkritik Lim Kit Siang berhubung kerugian yang ditanggung Bank Negara Malaysia susulan skandal tukaran wang asing (forex) pada 1990-an.

Kata Najib, beliau percaya Lim juga terkejut apabila kerajaan memutuskan "tiada tindakan lanjut" (NFA) berhubung laporan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) terhadap skandal itu.

Bercakap dengan Malaysiakini kemudian, Najib berkata: "Sehingga hari ini, tiada seorang pun dipertanggungjawabkan terhadap kerugian RM33 bilion oleh Bank Negara, yang kini bernilai RM100 bilion."

"Dan tidak akan ada kerana laporan polis yang dicadangkan RCI telah ditarik balik dan kes itu diklasifikasikan sebagai NFA," katanya lagi.

Pada Julai lalu, Najib mengkritik Lim yang menurutnya membisu dalam perkara itu, dan membangkitkan pemimpin veteran DAP itu sangat lantang dalam isu forex pada masa lalu, termasuklah mendesak RCI ditubuhkan.

Katanya, Lim turut menulis buku bertajuk “The Bank Negara RM30 Billion Forex Losses Scandal.”

RCI tersebut antara lain mendapati Bank Negara kerugian RM31.5 bilion ekoran dagangan wang asing antara 1992 hingga 1994 dan berpandangan dagangan "berlebih-lebihan" dan "spekulatif" bersamaan dengan pecah amanah jenayah menyikit Seksyen 406 dan 409 Kanun Keseksaan.

Suruhanjaya itu mengesyorkan perdana menteri ketika itu iaitu Mahathir, dan timbalannya Anwar Ibrahim, disiasat bagi menentukan sama ada mereka menutup fakta daripada pengetahuan kabinet.

Peguam mahathir, Hanif Khatri Abdullah kemudian mendakwa laporan RCI bersifat "separuh masak" kerana gagal mengambil kira dokumen yang diberikan Mahathir ketika pendengaran.

Pada Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata laporan polis berkenaan perkara itu, yang dibuat pada November 2017, telah ditarik balik kerana kurang bukti dokumen berkenaan dakwaan salah laku.

Lihat Komen
ADS