Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wee kritik SPR: Tinggal 2 hari baru nak beritahu

Calon BN Wee Jeck Seng meluahkan rasa terkilan susulan kenyataan pihak berkuasa supaya parti politik memohon permit untuk berkempen rumah ke rumah pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

Jelasnya, ini telah menyukarkan pergerakan calon untuk mendekati rakyat sepanjang tempoh kempen berkenaan.

“Saya terkilan kerana selama ini saya kempen dengan begitu bebas, sekarang nak jumpa pengundi rumah ke rumah kena minta permit.

“Kita yang lah kempen, kita mahu dekati pengundi dengan dekat dan seramai yang boleh tapi sekarang nak jumpa pun tak boleh susah itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi ramah mesra bersama pemandu teksi di Terminal Bas Pontian hari ini.

Terdahulu,Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun mengingatkan semua parti dan calon untuk mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya ingin berkempen dari rumah ke rumah.

Azhar Azizan Harun 

Azhar turut berkata program tinjauan mesra (walkabout) yang turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

Sementara itu, Wee yang juga merupakan ketua MCA Tanjung Piai itu turut menjelaskan bahawa SPR sewajarnya memberitahu perkara tersebut pada awal tempoh kempen bukan ketika hanya tinggal baki dua hari lagi.

“Itu pun semalam baru terima satu arahan demikian, sudah tinggal dua hari lagi kenapa tak awal lagi beritahu.

“Ini akan mudahkan gerak kerja kita dan kita juga bukan ada niat lain, cuma mahu beritahu calon, nombor berapa dan minta sokongan,” katanya.

Wee ketika turun padang bertemu pengundi pagi tadi 

Senada dengan Wee, Timbalan Umno Mohamad Hasan turut menjelaskan cadangan pihak berkuasa tersebut adalah satu perkara menyusahkan.

Untuk rekod, Wee memenangi kerusi parlimen Tanjung Piai pada 2008 dan mempertahankannya pada 2013 sebelum kecundang kepada allahyarham Md Farid Md Rafik pada PRU tahun lalu.

Wee berdepan lima calon lain dalam PRK Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 Nov ini.

Cabaran utama di kawasan majoriti Melayu itu dilihat datang daripada calon PH dari Bersatu, Karmaine Sardini.

Empat lagi calon yang mencuba nasib ialah dari Gerakan, Berjasa dan dua wakil bebas.

Sementara itu Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau, yang ditemui pada sidang media di Pontian hari ini turut berharap SPR melonggarkan peraturan sedemikian.

Katanya peraturan berkenaan dikuatkuasakan ketika tempoh berkempen berbaki tiga hari saja lagi.

“Saya harap SPR longgarkan peraturan itu, berilah laluan kepada calon-calon atau parti politik untuk melawat rumah tanpa perlu permit.

"Jika ada apa-apa pergaduhan, apa-apa yang kita harap tidak berlaku itu berlaku (juga), polis boleh ambil tindakan yang adil,” katanya.

  • Ng Xiang Yi turut menyumbang untuk laporan ini 

Lihat Komen
ADS