Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Senator MCA, Ti Lian Ker menyifatkan Muafakat Nasional lebih inklusif jika dibandingkan dengan Kongres Maruah Melayu.

Beliau berkata, Muafakat Nasional merangkumi kompromi, toleransi dan bersifat inklusif yang jauh berbeza dengan kongres yang dihadiri pemimpin Bersatu itu.

Ti berkata demikian apabila ditanya tentang kerjasama yang semakin erat ketika berkempen di Tanjung Piai yang menyaksikan MCA berkongsi pentas bukan sahaja dengan rakan-rakan kompomem BN Umno dan MIC, tetapi juga dengan PAS.

"Muafakat Nasional adalah konsep untuk menggerakkan rakyat Malaysia ke hadapan.

"Ia mengiktiraf pelbagai budaya, kemajmukan dan menegakkan perlembagaan.

"Inilah cara ke hadapan untuk Malaysia yang baru ... terutamanya apabila Bersatu memilih untuk merampas aspirasi pendekatan bukan perkauman bagi Malaysia seperti yang dijanjikan deklarasi Setapak DAP (pada 1967) Malaysian Malaysia merentasi bangsa dan agama," katanya kepada Malaysiakini.

Ti berkata, walaupun majoriti orang Cina mengundi untuk perubahan kerajaan, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) telah menggunakan kedudukan untuk menganjurkan konvensyen ekonomi berasaskan perkauman pada awal tahun dan diikuti dengan kongres kontroversi mengenai maruah Melayu.

Dalam ucapan pembukaannya di ceramah BN-PAS pada Rabu lalu, presiden MCA Wee Ka Siong merujuk kepada Muafakat Nasional sebagai satu bentuk perpaduan pembangkang.

Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong, juga mengucapkan terima kasih kepada para penyokong ketika kempen dengan "Salam Muafakat Nasional," sebelum menambah bahawa konsep Muafakat Nasional adalah untuk pembangkang bekerja sama dengan sesuatu yang lebih baik.

Ti, bagaimanapun, tidak sehaluan dengan kenyataan dibuat Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan bahawa piagam Muafakat Nasional jelas menyatakan bahawa Umno juga bermakna BN, MCA dan MIC, dan PAS bermakna Gagasan Sejahtera membabitja Berjasa dan Ikatan.

Apabila ditanya sama ada PAS dan MCA kini rakan sekutu dalam gabungan itu, Ti berkata parti itu tetap boleh berdiri bersama DAP dalam isu-isu tertentu.

"Kita juga boleh berdiri dengan DAP pada platform yang sama mengenai isu-isu seperti UEC dan sebagainya untuk menekan kerajaan, tetapi apakah itu menjadikan kita sebuah pakatan?"

Beliau berkata MCA terbuka untuk bekerjasama dengan mereka yang ingin mempromosikan keterangkuman dan toleransi.

"MCA dibentuk untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berpegang pada prinsip toleransi, kompromi dan inklusif di atas.

"Inilah semangat kesederhanaan dan pembinaan konsensus yang menjadi kunci kejayaan negara selama ini, "kata Ti.

Bercakap kepada Malaysiakini Ti menambah: "Kami tidak pernah katakan ia pakatan, ia berbeza. Tetapi konsep Muafakat Nasional membawa Malaysia ke arah lebih baik," katanya.

Lihat Komen
ADS