Kerajaan Johor mahu anak bigfoot yang dikatakan berjaya ditangkap sekumpulan lelaki dipercayai anggota Jabatan Perlindungan Hidulan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diserahkan kepadanya.

Anak Bigfoot itu dikatakan ditangkap di hutan berdekatan Jeti Tanjung Leman, kira-kira 70 kilometer dari Kota Tinggi, selepas ditembak dengan ubat pelali, dua minggu lalu.

Berita itu tersebar selepas beberapa anggota kumpulan itu yang menaiki tiga kenderaan pacuan empat roda, dikatakan menceritakan kisah penangkapan berkenaan ketika singgah di kedai makan berhampiran Felda Tenggaroh sebelum membawa mahkluk berkenaan ke Kuala Lumpur

Menurut laporan Bernama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar Johor, Freddie Long, makhluk berkenaan merupakan khazanah hutan Johor.

Oleh itu, katanya, anak bigfoot itu perlu dikembalikan kepada kerajaan negeri bagi sebarang tindakan lanjut termasuk tujuan penyelidikan.

Mengulas laporan akhbar tempatan mengenai penangkapan anak bigfoot berkenaan, beliau berkata kisah penangkapan itu tidak dimaklumkan kepada pihaknya mahupun Perhilitan.

"Saya sendiri tidak dimaklumkan langsung mengenai perkara ini, saya hanya tahu mengenainya melalui akhbar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan exco di Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Bahru hari ini.