Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bicara kes rogol exco Perak: Peguam mohon kes dipindah ke Mahkamah Tinggi

Pasukan pembelaan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia melibatkan Exco Perak Paul Yong Choo Kiong memohon supaya kes tersebut dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Rajpal Singh yang mewakili Yong, berkata pihaknya akan memfailkan notis usul untuk memindahkan kes itu mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah, dalam masa terdekat.

"Kami akan menunggu tarikh ditetapkan Mahkamah Tinggi untuk mendengar permohonan kami," katanya kepada pemberita selepas selesai prosiding kes itu di Ipoh, Perak hari ini.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Sesyen Norashima Khalid turut membenarkan perbicaraan kes yang dihadapi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak itu, yang dijadualkan berlangsung esok dan Jumaat, ditangguh ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Beliau berkata ia bagi mendengar pengurusan kes tersebut pada 5 Dis.

Selain itu, Rajpal berkata pada perbicaraan hari ini pihaknya sekali lagi membantah permohonan pihak pendakwaan untuk meletakkan dua saksi termasuk pembantu rumah yang didakwa dirogol sebagai saksi terlindung mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009.

"Kami membantah dan hari ini hakim sepatutnya membuat keputusan sama ada kedua-dua saksi boleh memberi keterangan di bawah akta berkenaan atau sebaliknya. Bagaimanapun disebabkan pelbagai isu yang dibangkitkan, yang saya tidak boleh nyatakan, kami kemudian memutuskan untuk memfailkan usul,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar berkata pihak pendakwaan membantah permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi kerana tiada sebab yang kukuh untuk perbicaraan ditangguhkan.

"Tiada kepentingan kes ini didengar di Mahkamah Tinggi. Kes ini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu kes rogol yang memang bidang kuasa Mahkamah Sesyen untuk membicara dan mendengar keterangan saksi semua,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Azhar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman manakala Rajpal, Terence Naidu dan Farhan Sapian mewakili tertuduh.

Pada 23 Ogos lepas, Yong yang juga adun Tronoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumahnya berumur 23 tahun di kediamannya di Meru dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS