Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan sokongan beliau terhadap keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membatalkan projek jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Menyifatkannya sebagai "keputusan yang bijak dan bertanggungjawab", Anwar berkata keputusan itu terpaksa dibuat bagi menyelamatkan duit pembayar cukai.

"Saya menyokong keputusan oleh Abdullah kerana mana-mana pemimpin yang bertanggungjawab tanpa pengecualian, tidak boleh meneruskan projek itu yang menjejaskan negara lain. Jika anda mahu teruskan juga membina jambatan itu, dengan itu pembayar cukai yang terpaksa membayarnya," katanya.

Bercakap kepada pemberita di kediamannya di Bukit Damansara, Anwar berkata beliau menyokong keputusan itu berdasarkan kepada prinsip hubungan antarabangsa moden -- bahawa tiada negara boleh membuat sebarang keputusan unilateral yang menjejaskan negara lain.

Dengan merujuk kepada kutukan antarabangsa terhadap tindakan unilateral Amerika Syarikat untuk menceroboh Iraq, Anwar berkata Malaysia "tidak boleh teruskan projek itu" kerana ia akan menjejaskan "hubungan survival jangka panjang, ekonomi, keselamatan dan kebudayaan" antara Malaysia dan Singapura.

Mengakui betapa sukarnya berunding dengan Singapura, Anwar berkata negara pulau itu telah, sejak bermulanya rundingan dengan Malaysia untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak, menyatakan mereka mahu semua isu diselesaikan secara komprehensif.

Menurut laporan Bernama, Anwar berkata adalah satu kesilapan besar sekiranya kerajaan memutuskan untuk meneruskan pembinaan jambatan itu yang beliau anggap sebagai satu lagi "projek mega" kerana "kita bercakap mengenai sebuah negara dan kepentingan negara itu perlu dilindungi".

Bagaimanapun, katanya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhak untuk menyatakan pandangan beliau berhubung keputusan yang dibuat pucuk pimpinan sekarang untuk membatalkan projek jambatan itu.

Katanya, mana-mana kerajaan yang bertanggungjawab akan mengambil langkah menyemak semula sebarang keputusan yang dibuat oleh pentadbiran sebelum itu yang "didapati tidak ekonomik".