Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan keliru, saya PM k’jaan PH, kata Mahathir

PRK TG PIAI | Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad meminta pengundi di Tanjung Piai tidak terpedaya dengan taktik penipuan yang dilakukan pada pilihan raya kecil itu.

Ini selepas tersebar gambar memaparkan dirinya berkempen untuk BN dan menggesa pengundi menyokong calon daripada gabungan parti tersebut.

Menurut Mahathir, beliau kini merupakan perdana menteri daripada Pakatan Harapan (PH) dan bukan lagi pemimpin kerajaan lama.

“Satu penipuan tunjuk gambar saya sebagai PM (oakai) baju biru kononnya saya presiden Umno, pengerusi BN. Saya bukan presiden Umno, saya bukan Pengerusi BN, saya adalah PM kerajaan PH.

“Sebab itu saya di sini, sebab pemimpin bagi PH. Jangan keliru, yang bertanding PH,” katanya ketika berucap di program sarapan bersama badan bukan kerajaan (NGO) Tanjung Piai di Pekan Nenas hari ini. 

Baru-baru ini sekeping gambar memperlihatkan Dr Mahathir dengan latar belakang gambar calon BN, Wee Jeck Seng bersama pengundi Tanjung Piai tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp.

Pada gambar itu juga tertera keterangan “Undilah Calon 02” beserta tanda pagar #PRK Tg Piai, sambil Dr Mahathir menunjukkan isyarat dengan mengangkat dua jari.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam sidang media selepas itu meminta pengundi terutama masyarakat Cina tidak terpedaya dengan risalah calon PH, Karmaine Sardini yang menggunakan logo kempen “Buy Muslim First” (BMF) pada ceramah semalam.

Bagaimanapun beliau yakin isu tidak akan menjejaskan pengundi Cina di Tanjung Piai.

“Semalam pula risalah dikeluarkan sokong Haji Karmaine. Sebelah tu (tulis) “Buy Muslim First” untuk bagi orang Cina marah.

“Tetapi saya tak ingat orang Cina begitu bodoh ditipu oleh penyangak ini. Orang Cina arif dalam bidang pilihan raya,” katanya selepas program tersebut berakhir. 

Pada ceramah PH di Kukup Laut semalam, risalah mempromosikan calon PH itu diedarkan dan diletakkan di kira-kira 1,000 kerusi dalam program tersebut.

Risalah berkenaan memaparkan logo halal di bahagian belakang dengan keterangan bertulis 'Kempen Beli Produk Islam'.

“Kita beli asalkan orang tu Melayu Islam. Bila undi, sepatutnya bila ada calon Islam dan bukan Islam kita pilih yang Islam, tak kira dari parti mana. 

"Bila ada dua atau lebih calon Islam, kita pilih yang lebih besar. Jadi kita pilih Bersatu. Ini baru ikut prinsip. Vote Muslim first!" kata risalah itu.

Risalah itu juga memaparkan latar belakang dan maklumat menegenai Karmaine, serta senarai sumbangan bekas anggota parlimen Tanjung Piai Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik.

Sebelum ini PH menentang kempen 'Buy Muslim First' atau BMF kerana ia disifatkan sesetengah pihak sebagai tindakan memboikot perniagaan orang bukan Islam.

Bagaimanapun Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa pengedaran risalah itu sebagai tindakan sabotaj.

"Pendirian kami ialah undi calon yang boleh bawa pembangunan kepada Tanjung Piai, yang melawan korupsi. Kaum dan agama tidak patut jadi isu," katanya kepada media menerusi WhatsApp.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 Nov ini menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon PH, BN, Gerakan, Berjasa dan dua calon bebas.

Lihat Komen
ADS