Jabatan Perhilitan nafi tangkap anak Bigfoot
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini menafikan berita tentang penangkapan anak Bigfoot di hutan berdekatan jeti Tanjung Leman, Mersing, Johor.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini menafikan berita tentang penangkapan anak Bigfoot di hutan berdekatan jeti Tanjung Leman, Mersing, Johor.
Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Musa Nordin berkata tiada mana-mana anggota Jabatan Perhilitan sama ada dari Ibu Pejabat Perhilitan Kuala Lumpur ataupun pejabat Perhilitan Johor membuat apa-apa tangkapan anak bigfoot di hutan tersebut.
"Dalam tempoh seperti yang dilaporkan, Jabatan Perhilitan tiada membuat apa-apa operasi di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini yang menyatakan anak Bigfoot ditangkap oleh sekumpulan 10 lelaki dipercayai anggota Jabatan Perhilitan.
Bernama melaporkan anak Bigfoot itu dikatakan ditangkap di hutan berdekatan jeti Tanjung Leman, kira-kira 70 kilometer dari Kota Tinggi selepas ditembak dengan ubat pelali dua minggu lalu.
Berita penangkapan itu menjadi bualan hangat penduduk di daerah Kota Tinggi setelah beberapa anggota kumpulan itu yang menaiki kenderaan pacuan empat roda, dikatakan menceritakan tentang penangkapan tersebut ketika singgah di kedai makan berhampiran Felda Tenggaroh sebelum membawa haiwan itu ke Kuala Lumpur.

