Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan lucut hak RM700,000 Umno Pekan didengar 28 Feb 2020
Diterbitkan:  Nov 15, 2019 12:57 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 28 Feb tahun depan untuk mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak wang RM700,000 atas nama Umno Bahagian Pekan yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Sulaiman daripada SPRM yang memohon satu tarikh baharu untuk pendengaran hujahan permohonan lucut hak wang itu.

"Pada hari ini ditetapkan untuk notis kepada pihak ketiga dan ia telah disiarkan di dalam warta bertarikh 31 Okt 2019 dalam sistem e-filing. Bagaimanapun, sehingga hari ini tiada pihak ketiga hadir untuk menuntut harta itu," katanya.

Dalam prosiding lucut hak sekiranya tiada pihak ketiga hadir menuntut harta tersebut, kes diteruskan dengan pendengaran permohonan lucut hak.

Peguam Amalin Mohd Zahid mewakili Umno Bahagian Pekan.

Hakim Mohd Nazlan mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 17 Feb 2020.

Permohonan lucut hak itu difailkan pihak pendakwaan terhadap yayasan tersebut mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, SPRM memfailkan permohonan tersebut terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB di mana SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS