Para pemerhati politik meramalkan persidangan khas Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini akan diakhiri petang ini dengan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud membubarkannya untuk mengadakan pilihan raya negeri yang kesembilan.

Persidangan khas hari ini diadakan untuk membahaskan usul Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Bagaimanapun, ada juga pihak menjangkakan Abdul Taib akan mengumumkan pembubaran DUN Sarawak pada 22 April ataupun 24 April. Sebanyak 71 kerusi negeri akan dipertandingkan dalam pilihanraya negeri kali ini.

Namun usaha wartawan untuk mendapatkan pengesahan daripada Abdul Taib sejak beberapa hari lalu tidak berhasil. Beliau hanya sekadar berkata, semua akan tahu bila tiba masanya nanti.

Semalam, Abdul Taib yang juga pengerusi BN Sarawak, berkata pembahagian 71 kerusi DUN yang ditetapkan oleh BN Disember tahun lalu, tidak berubah.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Abdul Taib, diperuntukkan 35 kerusi; Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang diketuai Tan Sri Dr George Chan (19); Parti Rakyat Sarawak (PRS) pimpinan Datuk Seri Dr James Jemut Masing, (9) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) diketuai Datuk William Man (8).

Menurut laporan Bernama, isu kerusi DUN Ngemah dan Belaga yang menjadi perebutan antara PRS dan SPDP juga sudah muktamad. Kedua-dua kerusi itu diberikan kepada PRS.

Perebutan kerusi selesai

Isu itu berbangkit apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ngemah Gabriel Adit dan Adun Belaga Stanley Ajang kedua-duanya menang dalam pilihanraya negeri 2001 atas tiket Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang sudah dimansuhkan menyertai SPDP.

Dalam perebutan itu, Masing mendakwa kedua-dua kerusi itu patutn diberikan kepada PRS manakala Mawan berpendapat kedua-duanya milik SPDP kerana kedua-dua Adun itu sudah menganggotai partinya.

Walauapapun hujah kedua-dua parti komponen itu, pengerusi BN Sarawak menganggap isu itu sudah beres dan semua pihak sudah mencapai persetujuan dan semua parti komponen kini bersedia menghadapi pilihan raya negeri.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) juga sudah bersedia mengendalikan pilihanraya negeri Sarawak, berdasarkan pengakuan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, di Miri semalam.

Katanya SPR hanya menunggu DUN Sarawak dibubarkan dan ia hanya memerlukan dua hari selepas pembubaran itu untuk mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Abdul Rashid yang baru selesai meninjau pusat-pusat pengundian di kawasan pedalaman Sarawak, khususnya Bario, berkata semuanya sudah siap untuk digerakkan.

Dari segi logistik, SPR akan menggunakan 20 helikopter dan dua kapal terbang, lebih 1,000 bot dan perahu serta lebih 300 kenderaan pacuan empat roda untuk operasi pilihanraya di kawasan pedalaman.